Followers

Sunday, October 18, 2009

Maklumat H1N1 sekali dalam seminggu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini, memaklumkan bahawa kenyataan media mengenai penularan kes Influenza A(H1N1) hanya akan dikeluarkan seminggu sekali memandangkan terdapat trend penurunan kes berkenaan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kementerian memutuskan bahawa kenyataan media hanya akan dikeluarkan setiap Rabu, berbanding setiap hari sebelum ini.

Dr Mohd Ismail juga memaklumkan bermula esok, perkhidmatan Talian Bebas (03-88810200 atau 03-88810300) hanya akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

"Bagaimanapun, sebarang pertanyaan mengenai H1N1 masih boleh dihantar melalui e-mel kepada Kementerian Kesihatan di alamat cprc_h1n1@moh.gov.my," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Maklumat terkini berkaitan penyakit berkenaan juga masih boleh diperolehi menerusi laman web www.moh.gov.my atau www.h1n1.moh.gov.my.

Mengulas situasi terkini H1N1, Dr Mohd Ismail berkata, hari ini seramai 102 pesakit baru dengan gejala influenza-like-illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, sementara 126 kes discaj.

Sehingga kini, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 580 kes di 76 hospital termasuk tiga hospital swasta, katanya.

"Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 23 pesakit atau empat peratus adalah kes influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal," katanya.

Beliau berkata, daripada 23 orang pesakit Influenza A(H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak lima kes atau 22 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Pada hari ini tiada kemasukan kes baru ke ICU dan seorang telah discaj. Kesemua lima kes yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti obesiti (1), penyakit kronik (2) dan kanak-kanak bawah lima tahun (2)," katanya.

Dr Mohd Ismail turut memaklumkan tiada kematian akibat influenza A(H1N1) yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal 77 orang. - Bernama

0 comments: