Followers

Sunday, October 18, 2009

Taufan Lupit pula badai utara Manila

Ribuan penduduk diarah segera berpindah

MANILA: Gabenor wilayah utara Filipina, Nestor Fengwan mengarahkan berpuluh-puluh ribu penduduk di kawasan yang dilanda taufan baru-baru ini meninggalkan kediaman mereka apabila satu lagi taufan baru, Lupit, dijangka melanda.

"Mereka mesti berpindah jika mahu selamat, tetapi ada sebilangan lagi masih berdegil," katanya.

Beliau berkata, pesawat tentera sudah membawa bekalan makanan ke kawasan yang tidak dapat dihubungi melalui jalan darat.

Jabatan kaji cuaca melaporkan, Lupit, perkataan Filipina yang bermaksud 'kejam', mengumpulkan kekuatan sepanjang malam dan berubah menjadi taufan dengan kelajuan angin dari 130 kilometer meningkat kepada 160 kilometer sejam.

Ketua jabatan kaji cuaca kerajaan, Nathaniel Cruz, berkata taufan Lupit mungkin tidak membadai kawasan padat penduduk di utara Filipina, sebaliknya berubah arah menghala ke Taiwan awal minggu depan.

"Bagaimanapun, ia mungkin menyebabkan kemusnahan sama seperti taufan Parma sebelum ini. Lupit bergerak perlahan di laut timur Luzon dan diramal mengumpul semula kekuatan selepas itu," katanya.

"Kami memberitahu mereka mengenai taufan baru dan perlu lakukan perpindahan awal," kata Olive Luces yang mengetuai Pejabat Pertahanan Sivil di bandar Baguio, 210 kilometer ke utara Manila.

"Disebabkan landskap yang berbukit dan dihuni lebih 1.2 juta penduduk, bandar kawasan berkenaan adalah zon bahaya," kata Luces.

Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tanah rendah, dekat lurah dan cerun gunung adalah paling perlu dipindahkan.

Pusat Amaran Taufan Bersama kendalian tentera Amerika Syarikat di Hawaii, menjangka ribut itu mungkin mula melanda Rabu ini di wilayah timur laut, Isabela atau Cagayan sebelum bergerak ke Ilocos pada hari sama.

Di wilayah Benguet, polis diarah pergi dari rumah ke rumah bagi meminta penduduk berpindah sebelum taufan baru melanda, selepas sekurang-kurangnya 288 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh berikutan taufan Parma sebelum ini.

0 comments: