Followers

Sunday, October 18, 2009

Ekonomi negara dijangka pulih tahun depan: Awang Adek

KUALA TERENGGANU: Keadaan ekonomi negara dijangka kembali pulih tahun depan dengan mencatatkan pertumbuhan yang positif sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, keyakinan dan andaian itu berdasarkan pergerakan ekonomi dunia sekarang yang menunjukkan ke arah pemulihan.

"Dalam suku pertama dan suku kedua pertumbuhan ekonomi negara kita pada tahun ini mencatatkan pertumbuhan yang negatif dan dunia pun macam itu.

"Bagaimanapun ada baiknya apabila penguncupan pada akhir suku kedua ia kecil sedikit iaitu 3.9 peratus berbanding sebelum ini penguncupannya sehingga enam dan tujuh peratus," katanya selepas merasmikan majlis Konvokesyen Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) kedua di sini, hari ini.

568 graduan yang mengikuti pengajian tiga tahun di KIST Induk di Bachok menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen terbabit.

Dr Awang Adek berkata, tidak dinafikan dalam keadaan ekonomi yang lembab, ramai yang berhadapan dengan masalah diberhentikan kerja, namun ia hanya bersifat sementara.

"Apabila ekonomi kembali pulih, pelaburan bertambah, sudah tentu peluang pekerjaan akan wujud. Mereka yang diberhentikan itu akan diambil semula bekerja," katanya.

Katanya, negara mengalami kekurangan eksport yang agak ketara iaitu kira-kira 20 peratus dan apabila kilang-kilang ini kembali beroperasi tahun depan, majikan akan mengupah kembali tenaga kerja.

Dr Awang Adek juga berkata, kerajaan juga banyak mengadakan program-program latihan dan kemahiran yang dikendalikan Kementerian Sumber Manusia untuk mereka yang diberhentikan kerja.

"Sebenarnya di negara ini kerja memang banyak, tinggal lagi ada antara kita yang suka memilih kerja. Peluang kerja begitu banyak di sektor perladangan dan restoran-restoran tetapi kebanyakannya tidak diminati oleh pekerja kita," katanya. - Bernama

0 comments: