Followers

Friday, October 9, 2009

Umno akan lebih mantap dengan pindaan perlembagaan

KUALA LUMPUR: Langkah besar proses transformasi Umno bermula minggu depan apabila parti itu mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi meminda Perlembagaan untuk menghapuskan sistem kuota.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pindaan terhadap Perlembagaan parti akan menjadikan Umno lebih terbuka dan menarik golongan muda untuk meneruskan perjuangan parti.

"Langkah-langkah ini akan meremaja dan memantapkan Umno," katanya pada persidangan akhbar mengenai Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata dengan adanya sistem pemilihan yang lebih baik dan terbuka, dijangka parti itu akan menarik golongan muda sebagai wadah perjuangan politik mereka.

"Bagi memastikan pemilihan parti tidak diperlekehkan, akar umbi Umno menyokong cadangan supaya beberapa syarat dikenakan bagi mereka yang bertanding jawatan tertinggi parti.

"Akar umbi sendiri mahukan syarat-syarat minimum dikenakan bagi mereka yang bertanding jawatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata antara syarat yang dicadangkan ialah calon yang bertanding mestilah menjadi anggota parti untuk tempoh masa tertentu, selain itu pernah memegang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian dan faham mengenai hala tuju parti.

Ini adalah kerana akar umbi parti berpendapat Presiden dan Timbalan Presiden parti juga akan memegang jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara ini, katanya dalam majlis taklimat selama setengah jam itu.

Tengku Adnan berkata: "Presiden (parti Datuk Seri Najib Razak) dan juga Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak mahu meletakkan sebarang syarat untuk merebut jawatan tertinggi parti, walau bagaimanapun akar umbi parti tetap mahu syarat minimum untuk melayakkan mereka bertanding."

Menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Umno pada minggu depan, Tengku Adnan berkata ini adalah perhimpunan yang paling pendek diadakan dengan melibatkan hanya empat hari berbanding lima hari sebelum ini, selain tidak menjemput pemerhati luar negara serta wakil dari Kelab Umno.

Tengku Adnan berkata keputusan itu dibuat memandangkan parti itu baru sahaja mengadakan Perhimpunan Agung Umno 2008 pada Mac lalu.

Perhimpunan agung kali ini juga akan membahaskan satu usul iaitu ucapan dasar presiden parti pada Jumaat ini, katanya.

Beliau berkata perhimpunan kali ini akan bermula dengan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti pada Selasa malam dan berlangsung sehingga Rabu.

Sementara Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada Khamis dengan dirasmikan oleh Najib dan akan ditangguhkan sebaik dirasmikan bagi memberi laluan kepada Perhimpunan Agung Khas parti itu yang akan membahas beberapa cadangan pindaan Perlembagaan parti yang berkaitan dengan syarat pemilihan jawatan tertinggi parti berkenaan.

"Setiap pembahas usul dari negeri serta wakil dari tiga sayap parti akan diberikan masa selama 15 minit, dan Perhimpunan Agung Khas itu dijangka dapat ditamatkan pada jam 4 petang sebelum Perhimpunan Agung Umno 2009 diadakan semula," katanya.

Tengku Adnan berkata seramai 2,539 perwakilan Umno akan menghadiri perhimpunan kali ini, dan turut dijemput adalah dua bekas presiden parti iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Setakat ini sebanyak 37 agensi media yang melibatkan 876 petugas media telah mendaftar untuk membuat liputan perhimpunan itu termasuk lapan agensi media luar negara, katanya.

Beliau berkata perhimpunan kali ini turut memberi penekanan kepada logo 1Malaysia di mana pada beg perwakilan ke perhimpunan itu akan tertera logo berkenaan.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata pemansuhan sistem kuota akan memastikan pemimpin yang benar-benar bersih dan komited kepada parti tidak lagi terpinggir pada pemilihan jawatan tertinggi parti.

"Anggota-anggota Umno harus berani melakukan perubahan politik untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa, supaya parti sentiasa relevan dan seterusnya mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno," katanya dalam kenyataan.

Syed Ali berkata Najib juga telah membuktikan sikap keterbukaan dan ketulusan beliau berhubung cadangan pemansuhan sistem kuota itu.

"Presiden Umno telah membuktikan kepada anggota-anggota parti bahawa beliau lebih mengutamakan kepentingan suara akar umbi yang mahukan perubahan," katanya. - Bernama

0 comments: