Followers

Friday, October 9, 2009

50,000 rai sambutan 1Malaysia Ahad depan

IPOH: Kira-kira 50,000 rakyat berbilang bangsa dijangka menghadiri majlis pelancaran gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Stadium Perak, di sini Ahad depan.

Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata Perak menjadi negeri pertama terpilih untuk melancarkan konsep itu yang berteraskan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama.

"Kita menjangkakan lebih 50,000 rakyat berbilang kaum menghadiri majlis pelancaran 1Malaysia pada 18 Oktober nanti. Pelbagai program menarik diatur termasuk persembahan orkestra tradisional Malaysia yang membabitkan penyertaan pelbagai kaum.

"Majlis yang bertemakan perpaduan itu juga diharap dapat menyemai rasa cinta kepada negara dan menyokong penuh dasar yang diperkenalkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat bersama-sama pemimpin badan bukan kerajaan dan masyarakat Cina berhubung majlis pelancaran itu di sini hari ini.

Beliau berkata, sehari sebelum itu, satu ekspo bertemakan perpaduan akan diadakan di Stadium Indera Mulia yang berhampiran dengan Stadium Perak.

Katanya, lebih 10,000 masyarakat Cina di Perak dijangka menghadiri majlis itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi menyemarakkan perpaduan nasional.

Dr Mah yang juga Timbalan Ketua Pemuda MCA berkata, perpaduan adalah aspek penting yang menjadi kunci kepada kestabilan politik dan ekonomi yang dinikmati rakyat negara ini.

Mengenai kejadian bangunan runtuh di Jalan Kamaruddin Isa di Fair Park di sini yang mengorbankan dua nyawa Jumaat lepas, beliau berkata, ia masih dalam siasatan dan laporan terperinci dijangka siap minggu depan.

"Sebaik siasatan selesai, kita akan menghantar laporan itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum mendedahkan hasil kajian itu kepada umum," katanya. - Bernama

0 comments: