Followers

Monday, September 14, 2009

Sabah&Sarawak: Sabah perlu utamakan pendidikan formal

Pelajar harus ada semangat, cita-cita tinggi untuk capai kecemerlangan akademik

KOTA KINABALU: Sabah mungkin berdepan kesukaran untuk maju pada masa depan jika aspek pembinaan masyarakat berilmu menerusi pendidikan formal di sekolah diabaikan, sama ada oleh pelajar atau ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya.

Ketika Kerajaan Persekutuan dan negeri berusaha melalui pelbagai kaedah memajukan pendidikan sama ada di sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar tidak harus menganggap kecemerlangan dalam pelajaran mampu dicapai dengan mudah

Ini kerana tiada jalan singkat untuk menggenggam kejayaan manakala usaha sambil lewa dalam pembelajaran tidak akan menghasilkan kejayaan membanggakan.

Menegaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata pelajar sebagai barisan pelapis kemajuan negara dalam bidang politik, ekonomi dan sosial tidak boleh menganggap kejayaan dalam pelajaran sebagai aspek sampingan, sebaliknya harus mempunyai semangat dan cita-cita tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Selain itu, aspek kokurikulum juga harus turut diberi perhatian kerana ia turut membina pelajar yang sihat fizikal dan mental.

"Rasulullah SAW pernah mengingatkan umat Islam menuntut ilmu walaupun ke China. Ini menunjukkan betapa pentingnya umat Islam dan masyarakat keseluruhannya memahami konsep dan kepentingan ilmu dalam kehidupan kita.

"Tidak mungkin tanpa ilmu kita mampu mencapai kejayaan dalam hidup. Pelajar yang berjaya dalam pelajaran hari ini akan menjadi tenaga kerja penting dalam pelbagai sektor pada masa depan," katanya pada program Cemerlang Bersama Ketua Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Inanam di sini, semalam.

Musa turut melancarkan logo baru PIBG sekolah berkenaan.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang bertanggungjawab dalam hal- ehwal pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun; Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh; Pengetua SMKA Inanam, Affida Helmi dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Ku Othman Ku Ali.

Program anjuran PIBG SMKA Inanam itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dengan pentadbir, guru dan pelajar sekolah berkenaan, sejajar status sekolah itu sebagai antara SMKA terbaik di Sabah.

SMKA Inanam adalah penerima Anugerah Kecemerlangan SMKA Zon Sabah/Sarawak berikutan kejayaan cemerlang pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang diadakan di Kuala Terengganu.

Sekolah Gred A berstatus Asrama Harian itu menempatkan 443 pelajar Tingkatan 1 hingga 5. Nama sekolah itu bakal ditukar sempena nama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah, tidak lama lagi.

Musa berkata, kerajaan negeri akan meneliti permohonan bantuan daripada PIBG SMKA Inanam dan sekolah lain kerana ia bukan untuk pembaziran, sebaliknya demi pembelajaran pelajar.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta Jabatan Pelajaran Sabah, pentadbir sekolah dan guru berganding bahu memajukan pencapaian akademik di negeri ini supaya setanding dengan negeri lain.

0 comments: