Followers

Monday, September 14, 2009

Sabah&Sarawak: Nyawa tiada nilai


PENUMPANG tidak memakai jaket keselamatan bagi bot beroperasi dari Pulau Gaya ke Kota Kinabalu atau sebaliknya.

Pengusaha bot membawa lebih muatan tanpa jaket keselamatan

SEMPORNA: Ketika nyawa tiada galang-gantinya, segelintir pengusaha bot penambang di beberapa pulau di daerah ini nyata tidak menghiraukan tingginya harga nyawa manusia apabila dikesan membawa penumpang secara berlebihan.

Malah, ada penumpang dilihat terpaksa duduk di atas bumbung pengangkutan awam itu dan dengan sendirinya menimbulkan spekulasi - siapa yang tidak sayangkan nyawa sebenarnya - pengusaha bot atau penumpang sendiri?

Perjuangan menempah maut seperti ini sememangnya sia-sia kerana apa saja boleh berlaku tatkala bot laju bergerak membelah ombak Laut Sulawesi, menghantar penumpang dari pulau ke pulau.

Ketika ditanya mengapa mengambil risiko membawa lebih penumpang, seorang pengusaha selamba menjawab: "Ini semua orang pulau, mereka boleh berenang."

Semudah dan semurah itu harga nyawa manusia di mata mereka. Jelas, kemungkinan ombak besar melanda secara mengejut dan bot sarat dengan penumpang karam tanpa jaket keselamatan langsung tidak menjadi kebimbangan.

Tinjauan Berita Harian mendapati, penumpang juga ibarat `dua kali lima' kerana masih sanggup bersesak tanpa sebarang kegusaran dalam bot yang kelihatan hampir tenggelam.

Ia diburukkan dengan tiada seorang pun dibekalkan dengan jaket keselamatan termasuk mereka yang membawa anak kecil, seolah-olah sedia menempah undangan maut tanpa mengira masa.

Seorang pengusaha bot penambang, Salim Kerong, 50, mendakwa kekurangan pengusaha bot menyebabkan penumpang tiada pilihan kecuali menggunakan bot lebih muatan.

Katanya, rata-rata penumpang tidak berasa takut menaiki bot lebih muatan walaupun ada yang duduk hingga ke bumbung kerana semua lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas pandai berenang serta berupaya menyelamatkan kanak-kanak atau wanita hamil jika berlaku kecemasan.

Beliau berkata, semua penumpang adalah anak nelayan dan pelaut mahir, selain menetap di perkampungan atas air yang saban hari bertemankan gelora Laut Sulawesi.

"Lebih 20 tahun saya mengusahakan bot penambang dari beberapa pulau di daerah ini dan tidak pernah pula berlaku kes bot yang digunakan karam.

"Malah jika ditanya, saya rasa tiada penumpang yang gentar kerana sudah biasa," katanya sambil berseloroh orang pulau jika takutkan gelombang lebih bagus tinggal di bandar kerana sikap itu memalukan nenek moyang yang tidak pernah belayar di lautan.

Seorang penumpang, Isakang Itam, 48, berkata beliau tiada pilihan kecuali menggunakan perkhidmatan bot lebih muatan kerana hanya sebuah bot beroperasi dari kampungnya ke pekan Semporna dan sebaliknya setiap sehari.

"Memanglah kami boleh berenang tetapi itu bukan jaminan menyelamatkan diri kerana kadang-kadang laut bergelora.

"Sepatutnya pengusaha bot sedar perkara ini dan tak boleh anggap semua penumpang boleh selamatkan diri. Kita bukan minta tapi kalau berlaku apa-apa, adakah mereka mahu bertanggungjawab?" katanya.

Dalam pada itu, lain pula halnya dengan pengusaha bot penambang dari Pulau Gaya ke bandaraya Kota Kinabalu yang tidak menyediakan jaket keselamatan bagi penumpang, selain ada juga pengusaha dikesan membawa lebih daripada 12 penumpang sedangkan syarat ditetapkan Jabatan Laut ialah maksimum 12 penumpang.

Kelaziman menunggu tragedi berlaku sebelum kembali mematuhi peraturan tidak sepatutnya menjadi amalan, lebih-lebih lagi apabila yang menjadi pertaruhan adalah nyawa manusia.

Mereka sepatutnya mencontohi ketegasan pengusaha bot pelancong beroperasi dari Jeti Seafest, Semporna ke Pulau Sipadan dan Mabul serta dari bandar raya Kota Kinabalu ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman yang meletakkan keselamatan penumpang sebagai keutamaan dan bukan memikirkan keuntungan semata-mata.

0 comments: