Followers

Monday, September 14, 2009

Sabah&Sarawak: Tendre lewat punca projek gagal

Birokrasi menyebabkan beberapa projek dalam RMK-9 tidak dapat dimulakan

PUTATAN: Kelewatan pengeluaran dan penganugerahan tender kepada kontraktor dikenal pasti sebagai antara punca kegagalan sebahagian projek pembangunan yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata masalah birokrasi itu menyebabkan beberapa projek yang sepatutnya sudah dilaksanakan gagal dimulakan sedangkan tempoh RMK-9 semakin hampir ke penghujungnya.

Katanya, kerajaan negeri tidak dapat mengatasi masalah itu kerana projek terbabit dibiayai dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Antara projek yang dikenal pasti menghadapi masalah ini ialah projek jelapang padi bernilai RM72 juta di Kota Belud. Hingga sekarang projek itu belum dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Pusat lambat menyelesaikan masalah tender kepada kontraktor.

"Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan pencapaian keseluruhan pelaksanaan projek pembangunan yang peruntukannya disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada kira-kira 500 anak yatim, orang tua dan golongan miskin bagi daerah Putatan di sini, kelmarin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, berkata setakat ini hanya 70 peratus projek yang tersenarai dalam RMK-9 berjaya dilaksanakan oleh kementeriannya.

Selebihnya, katanya, dikesan mengalami kegagalan atau belum ada laporan dihantar kepada kementerian oleh agensi atau jabatan yang bertanggungjawab melaksana dan memantau projek pembangunan terbabit.

"Mungkin hujung tahun ini kita akan dapat lihat peratusnya lebih tinggi iaitu selepas menyemak semua laporan projek pembangunan RMK-9 yang dilaksanakan semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri.

"Bagi projek yang gagal dilaksanakan seperti jelapang padi Kota Belud, kita berharap ia dapat diteruskan juga kerana pelaksanaannya penting bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan di negeri ini.

"Projek peningkatan pengeluaran padi perlu diberi perhatian kerana ketika ini pengeluaran tempatan hanya kira-kira 30 peratus daripada keperluan rakyat di negeri ini. Jika tidak ditingkatkan, kita terpaksa terus bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan rakyat," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan projek yang mengalami kegagalan dapat diteruskan, pihaknya berharap kerajaan Pusat dapat mengatasi masalah birokrasi yang berlaku dalam proses tender.

Katanya, jika proses itu dapat dipermudah dan dipercepatkan, masalah kelewatan atau kegagalan sesuatu projek dapat diatasi.

"Kita berharap pada masa depan masalah seperti ini tidak lagi timbul kerana ia boleh menjejaskan usaha kita meningkatkan pengeluaran bahan makanan di negeri ini," katanya.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga berharap masalah lain yang menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan pertanian di negeri ini dapat diatasi dengan segera.

0 comments: