Followers

Thursday, September 10, 2009

Najib seru komuniti Hopo seluruh dunia melabur di Malaysia

GENTING HIGHLANDS: Datuk Seri Najib Razak menyeru komuniti Hopo, satu subkumpulan komuniti Hakka, di seluruh dunia untuk mengambil kesempatan dari peluang perniagaan dan perdagangan yang ditawarkan di Malaysia, berikutan langkah liberalisasi sepenuhnya subsektor 27 perkhidmatan, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia, yang terletak di tengah-tengah rantau Asia Timur yang cergas, merupakan satu destinasi yang berdaya maju dan komuniti Hopo yang mempunyai jaringan di seluruh dunia, berserta pengetahuan dan kepakaran masing-masing, boleh bersatu tenaga dan bekerjasama dengan rakan mereka di Malaysia.

Najib berkata komuniti Hopo mempunyai kekukuhan mereka sendiri - sama ada modal, teknologi, bahan mentah, saiz pasaran, kuasa membeli, logistik atau rangkaian pengedaran, yang boleh disandarkan dan membentuk perkongsian atau ikatan strategik.

"Saya menjemput anda untuk menyertai kami di dalam perjalanan ke arah negara maju yang turut menawarkan kemungkinan yang menerujakan. Ahli perniagaan dan usahawan di kalangan anda boleh berpadu tanaga dengan rakyat Malaysia untuk melaksanakan projek di Malaysia, China dan malah di negara ketiga," katanya semasa menyampaikan ucaptama di Konvensyen Komuniti Hopo Dunia Pertama di sini hari ini.

Ia dihadiri oleh kira-kira 1,500 delegasi dari 18 negara.

Komuniti Hopo, yang merangkumi suku daripada penduduk Hakka di Malaysia, berasal dari kawasan Teochew di selatan China.

Sejak berkurun lalu, mereka telah merantau ke bahagian lain di dunia termasuk Hong Kong, Macau, Taiwan, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Najib berkata, komuniti Hopo di Malaysia, yang tinggal di negara ini sejak beberapa jenerasi dan terlibat di dalam perlombongan timah, perladangan, pembangunan hartanah dan pengilangan, boleh bertindak sebagai duta dan membantu mempromosikan negara ini sebagai destinasi bagi pelaburan asing dan pelancongan.

"Melalui pengetahuan dan jaringan anda, komuniti Hopo di Malaysia boleh bertindak sebagai rakan tempatan bagi usahasama dan aktiviti promosi di negara ini," katanya.

Perdana Menteri juga menyatakan bahawa peluang baru dan tambahan boleh diperoleh di koridor wilayah seperti Iskandar Malaysia di Johor, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang mempunyai Zon Ekonomi Khas dan memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi, aktiviti berasaskan pengetahuan dan perkhidmatan.

"Saya ingin memberi jaminan kepada para usahawan dan pelabur dari China dan dari kalangan komuniti Hopo di seluruh dunia bahawa anda dialu-alukan di Malaysia.

Kerajaan saya adalah properniagaan dan mesra pasaran dan akan meningkatkan dan memudahkan anda untuk melakukan perniagaan di sini," katanya.

Najib turut menekankan bahawa kerajaan telah menambah baik sistem penyampaian awam dan menyingkatkan proses kelulusan dan komited untuk menyediakan peningkatan peluang kepada pelabur domestik dan antarabangsa untuk melabur di dalam ekonomi Malaysia yang kian berkembang.

Katanya, infrastruktur kelas pertama yang disatukan dengan dasar kerajaan yang mengupaya dan mesra perniagaan merangsang syarikat pelbagai negara utama untuk menubuhkan pangkalan dan operasi di Malaysia manakala yang lain telah mengembangkan perniagaan masing-masing dan melabur semula untuk mengambil kesempatan dari insentif yang ditawarkan.

Mengenai China, yang juga rakan perdagangan utama Malaysia, Perdana Menteri berkata, kemunculan tanda-tanda pemulihan di rantau ini yang didahului China yang mencatatkan pertumbuhan tahunan 7.9 peratus antara April dan Jun, telah membuka peluang kepada perniagaan.

Melalui jaringan dalam bidang perdagangan, pelancongan dan pertukaran kebudayaan, katanya ahli perniagaan dan usahawan boleh mengambil kesempatan daripada kekukuhan peningkatan ekonomi dan hubungan sedia ada yang mendalam dan meneroka perniagaan baharu.

"Ekonomi global telah mengalami krisis ekonomi terburuk di dalam tempoh beberapa dekad. Tidak diragui lagi bahawa masih ada harapan dan peluang yang besar - yang lebih baik dicerminkan oleh karektor China bagi krisis, yang anda sudah kenali, yang juga mewaliki peluang," katanya.

Konvensyen Komuniti Hopo Pertama yang bertemakan "Mempromosi Perdagangan, pelancongan dan Pertukaran Kebudayaan Melalui Jaringan" itu diadakan selama tiga hari. - Bernama

0 comments: