Followers

Tuesday, August 4, 2009

H1N1: 2 kem PLKN, 1 kolej swasta ditutup

KUALA LUMPUR: Dua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebuah kolej swasta diditutup berikutan penularan wabak influenza A (H1N1).

Kem PLKN yang ditutup adalah Kem White Resort, Pulau Pinang, dan Kem Tasik Chini, Pahang, menjadikan jumlah kem PLKN yang ditutup kepada 23 buah, manakala Kolej Shahputra di Pahang ditutup selama seminggu bermula esok.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata semua pelatih telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pengerusi Eksekutif Kolej Shahputra, Datuk Dr Azman Zaini Abdul Ghanie, pula berkata keputusan untuk menutup kolej tersebut adalah atas nasihat Jabatan Kesihatan Pahang.

Di Sarawak, empat lagi kes positif Influenza A (H1N1) dilaporkan di Kuching dan kesemuanya merupakan kes jangkitan tempatan dan menjadikan jumlah kes di negeri itu setakat ini 139 kes, dengan kes import kekal 25.

Menurut kenyataan Bilik Gerakan Negeri, empat kes itu membabitkan seorang pelajar berusia 13 tahun dari Sekolah Menengah Kerajaan Bekenu di Miri dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari Samarahan, selain dua kes membabitkan kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia lapan tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Stapok dan SK Gita No 2 dekat Kuching.

Di Kedah, 182 pelajar dan tiga orang guru dari lima buah sekolah di negeri itu yang mempunyai simpton H1N1 telah diberi cuti selama enam hari bermula semalam bagi tujuan kuarantin.

Timbalan Pengarah Pelajaran Kedah, Abdullah Saad, berkata mereka yang terbabit terdiri daripada 51 orang pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, 45 murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Jitra, 34 murid dan tiga orang guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Serdang dan dua murid Sekolah kebangsaan Bandar Baru Sintok.

Seramai 50 orang pelajar Sekolah Sains Sultan Muhammad Jiwa di Sungai Petani telah dikuarantin dalam asrama apabila beberapa pelajar sekolah itu telah mengalami demam dan batuk. - Bernama

0 comments: