Followers

Tuesday, August 4, 2009

Sabah&Sarawak: Sidang DUN Sabah: Jawatankuasa tangani kes virus Influenza A ditubuh

Beberapa langkah diambil elak wabak menular

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil beberapa langkah bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai penularan virus Influenza A (H1N1) dan kaedah menangani wabak itu, sejajar dengan perkembangan 273 kes dilaporkan di negeri itu setakat kelmarin.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa bagi menangani kes itu yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata jawatankuasa itu akan memantau dan melaporkan perkembangan H1N1 kepada Kabinet negeri dari semasa ke semasa.

"Ketika ini, langkah proaktif yang dilaksanakan ialah mengedar poster dan risalah kepada masyarakat serta melaksanakan pendekatan memberi penerangan berhubung virus H1N1 dengan kerjasama agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Maklumat turut disampaikan menerusi media dan sehingga semalam (kelmarin), sebanyak 273 kes positif H1N1 dilaporkan di Sabah, merangkumi 156 lelaki dan 117 wanita.

"Bilangan kes tertinggi ialah di bandar raya ini iaitu 164 kes, diikuti Tawau dan Lahad Datu dengan masing-masing merekodkan 37 dan 13 kes, Penampang (12) dan Sandakan (11).

Papar mencatat enam kes manakala Kudat dan Keningau masing-masing empat kes, Tenom (dua) dan Tuaran (1),” katanya menjawab soalan Datuk Rubin Balang (BN-Kemabong), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (BN-Membakut) dan Sarapin Magana (BN-Matunggong) berhubung penularan H1N1 di Sabah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Musa berkata, saringan kesihatan masih dijalankan di semua pintu masuk ketibaan pelancong yang berkunjung ke Sabah sebagai langkah berjaga-jaga.

Mengenai kesannya ke atas sektor pelancongan negeri, beliau berkata, H1N1 tidak menjejaskan kedatangan pengunjung ke Sabah kerana penurunan ketibaan pelancong hanya sekitar satu peratus bagi tempoh Januari hingga Mei, berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Penularan H1N1 memang memberi cabaran bukan saja terhadap industri pelancongan Sabah, malah industri pelancongan di peringkat global.

"Sehingga kini, belum ada laporan diterima membabitkan pembatalan pelancong secara besar-besaran ke Sabah," katanya.

0 comments: