Followers

Tuesday, August 4, 2009

Sabah&Sarawak: 120 setinggan Suang Parai wajar dibela

Penempatan diduduki 10 tahun tiada bekalan air dan elektrik

KOTA KINABALU: Umno bahagian Sepanggar meminta kerajaan negeri menyelesaikan masalah 120 setinggan di Kampung Suang Parai berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, yang berlarutan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Ini kerana sejak dipindahkan ke kawasan berkenaan selepas penempatan asal mereka dimajukan syarikat yang bertanggungjawab membina bangunan komersial di Alam Mesra, Likas dekat sini, penduduk mendakwa tidak menerima kemudahan bekalan tenaga elektrik dan air.

Ketua Umno bahagian, Jumat Idris, mendakwa awalnya pemaju berjanji membina 500 rumah untuk penduduk yang dipindahkan tetapi hanya membina 120 unit.

"Hingga sekarang mereka tidak diberi bekalan tenaga elektrik dan air. Sekarang ada kira-kira 500 rumah di situ sedangkan penduduk asal hanya 120 keluarga manakala bakinya adalah penceroboh. Umno bahagian tidak mengiktiraf mereka yang menceroboh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Sepanggar di UMS di sini, kelmarin.

Ia disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shaziman Abu Mansor. Hadir sama Ketua Wanita Umno bahagian, Datuk Jainab Ahmad.

Pada majlis itu, Jumat menerima borang keahlian Umno daripada bekas pemimpin dan ahli empat cawangan Parti Maju Sabah (SAPP) yang sudah bosan dengan tindakan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee menikam Barisan Nasional (BN) dari belakang berikutan tindakannya membawa parti itu keluar daripada BN pada September lalu.

Jumat berkata, tanah di Sungai Parai untuk 120 keluarga berkenaan sudah diberi lot oleh kerajaan tetapi tidak menerima kemudahan asas, menyebabkan mereka terpaksa hidup seperti setinggan lain sedangkan mempunyai status tanah sah.

0 comments: