Followers

Monday, July 13, 2009

Wabak Influenza A kini terkawal: Liow

KOTA BHARU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata wabak Influenza A (H1N1) yang melanda negara kini terkawal walaupun bilangan yang disahkan positif mencecah 700 kes.

Beliau berkata, kebanyakan yang positif adalah mereka yang baru memasuki negara disamping beberapa kes yang membabitkan jangkitan tempatan selepas seseorang itu berada di dalam negara.

"Pada keseluruhannya boleh dikatakan terkawal dan berharap ianya tidak merebak lagi," katanya ketika berucap pada perasmian Konvensyen Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kelantan di sini, hari ini.

Walaupun terdapat enam kes positif dilaporkan di Kelantan dan di Terengganu 17, ia kini berada di dalam keadaan terkawal dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan bimbang dengan penularan penyakit itu dan meminta mereka supaya sentiasa berjaga-jaga.

Mengenai penyakit berjangkit seperti denggi, malaria dan kolera, beliau berkata, ia tidak membimbangkan kerana orang ramai sudah sedar dengan bahaya penyakit itu.

"Yang membimbangkan sekarang penyakit yang tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan lemah jantung yang dianggap serius," katanya.

Tanpa menyebut kadar kematian pengidap penyakit itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan cara hidup sihat. - Bernama

0 comments: