Followers

Monday, July 13, 2009

H1N1: 62 kes baru, 34 jangkitan tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaporkan 62 kes baru Influenza A (H1N1), iaitu 28 kes import dan 34 kes jangkitan tempatan yang dicatatkan sehingga jam 8 pagi tadi.

Ia menjadikan jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) di negara ini kepada 772 kes, di mana 535 adalah kes import dan 237 kes jangkitan tempatan.

Tiada kematian dilaporkan sepanjang tempoh terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada 34 kes jangkitan tempatan, 24 sudah mendapatkan rawatan pesakit luar manakala 10 pesakit dimasukkan ke wad.

Beliau berkata, daripada 772 jumlah pesakit yang disahkan dengan H1N1, 685 atau 89 peratus sudah sembuh dan discaj daripada hospital.

Katanya, baki pesakit yang sedang dirawat berjumlah 87 orang, termasuk mereka yang menerima rawatan pesakit luar.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut memaklumkan terdapat satu kelompok kes influenza yang dikesan pada 11 Julai lalu, di kalangan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, Melaka.

60 penuntut dengan tanda-tanda influenza sudah diletakkan di bawah pengasingan di kolej berkenaan.

Ujian rawak yang dijalankan pada waktu itu membabitkan lima penuntut, yang mana empat daripadanya disahkan positif jangkitan Influenza A (H1N1).

Kini, dua penuntut sudah dimasukkan ke Hospital Melaka manakala tiga lagi ditempatkan di bawah pemantauan di rumah masing-masing, iaitu dua di Selangor dan seorang di Kuala Lumpur.

Kerjasama antara Pihak Pengurusan Tertinggi UiTM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka diadakan bagi membincangkan langkah kawalan dan pencegahan wabak tersebut, termasuk aktiviti saringan ke atas pelajar lain yang terdedah serta dekontaminasi ke atas semua blok penginapan dan isolasi, dewan kuliah dan lain-lain bangunan yang digunakan pelajar.

0 comments: