Followers

Monday, July 13, 2009

Empat pelajar UiTM dijangkiti H1N1

MELAKA 12 Julai - Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Lendu, Alor Gajah di sini, mungkin akan ditutup buat sementara waktu setelah empat pelajarnya disahkan positif selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sepasukan perubatan telah dihantar ke kampus tersebut sebagai langkah pencegahan bagi mengelak virus itu merebak kepada pelajar lain.

''Pada masa ini, situasi di kampus terkawal, namun jika virus tersebut didapati telah menular kepada pelajar lain, kita terpaksa menutup kampus berkenaan buat sementara waktu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung MCA Melaka 2009 oleh Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat di sini hari ini.

Menurut Tiong Lai, daripada empat kes yang dilaporkan, seorang pelajar dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan peringkat kritikal.

''Tiga pelajar lagi sedang dirawat dan dikuarantin dalam bilik masing-masing di kampus universiti tersebut.

''Kita dapati hanya kes selesema biasa dialami pelajar di kampus itu namun kita masih mengawasi pelajar yang dijangkiti selesema bagi menentukan sama ada ia berkaitan kes H1N1 atau sebaliknya," jelasnya.

Katanya, tiga pelajar yang dikuarantin dalam bilik masing-masing terdiri daripada dua pelajar lelaki dan seorang wanita.

Pada masa yang sama, kata Tiong Lai, kementerian sedang berusaha mengenal pasti punca berlakunya kes virus H1N1 di kampus itu.

Menurutnya, kementerian juga mendapat kerjasama baik daripada pihak pentadbiran UiTM dalam menangani kes berkenaan dan dibantu seorang doktor yang berkhidmat di kampus tersebut.

''Kita juga akan menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini dan mungkin mengumumkan mengenai perkembangan terbaru situasi di kampus tersebut esok," katanya.

0 comments: