Followers

Sunday, July 5, 2009

Tiada masalah kekal istilah H1N1

KUALA LUMPUR: Tiada masalah jika Kementerian Kesihatan masih dengan keputusan untuk menggunakan istilah Influenza A (H1N1) bagi wabak yang kini menular di seluruh dunia.

Bagaimanapun, sebagai kementerian yang bertanggungjawab memberi kefahaman dan penerangan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan merasakan istilah selesema babi lebih sesuai digunakan kerana mudah difahami orang ramai.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bagi memastikan masyarakat faham maksudnya, terma selesema babi dan Influenza A (H1N1) sebaiknya digabungkan iaitu selesema babi (H1N1) atau H1N1 (selesema babi).

“Kalau orang kampung, H1N1 mereka tak faham. Kalau Kementerian Kesihatan masih terus hendak menggunakan H1N1, tiada masalah...tetapi kementerian ini sebagai kementerian yang bertanggungjawab menerangkan lebih mengutamakan pemahaman. Terma itu sebaiknya digabungkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Senam Seni Malaysia sempena Majlis Pelancaran Logo 1Malaysia di Dataran Merdeka, di sini, semalam. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melancarkan logo itu.

Menegaskan perkara itu, Dr Rais berkata, istilah `swine flu' atau selesema babi turut digunakan di semua televisyen luar negara dan internet.

0 comments: