Followers

Sunday, July 5, 2009

5 peserta APPC antara 11 kes terbaru H1N1

Jumlah jangkitan tempatan meningkat kepada 55

KUALA LUMPUR: Lima rakyat tempatan yang juga peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) di Pulau Pinang dari 27 hingga 30 Jun lalu, antara 11 kes terbaru jangkitan tempatan selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Sebelum ini, 12 daripada 165 peserta persidangan sama sudah dikesan dengan H1N1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata jumlah itu menjadikan kes jangkitan tempatan meningkat kepada 55 berbanding 44, kelmarin. Sejumlah 24 lagi kes baru H1N1 yang dilaporkan adalah kes import.

"Ia menjadikan 35 kes baru dikesan semalam, menjadikan 362 kes H1N1 dicatatkan setakat ini. Sehingga kini tiada kematian akibat wabak berkenaan, manakala 1,016 orang sudah dikenakan kuarantin di rumah," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Dr Ismail berkata, daripada 362 kes, hanya 87 yang masih dirawat, manakala 239 yang lain sudah sembuh dan dibenarkan.

Katanya, daripada 35 kes baru, 28 adalah warga tempatan dan bakinya masing-masing tiga rakyat Indonesia dan Australia serta seorang dari Singapura.

Bagi 24 kes import, kebanyakan mereka mengakui pernah melawat negara dan bandar yang terjejas dengan wabak H1N1 seperti Singapura, Melbourne, Jakarta, Manila, Bangkok dan London.

Bagaimanapun, untuk kes 313 dan 314, mereka dikesan masuk ke Malaysia dengan menaiki bas dari Singapura. Kes 314 membabitkan seorang tukang cuci warga Malaysia berusia 28 tahun yang menaiki bas nombor 170. Dia ditahan di pintu masuk ke Malaysia dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

Sementara 313 kes pula membabitkan warga Singapura berusia 18 tahun dikesan memasuki Malaysia menaiki bas PZ 1577U . Dia sudah dihantar pulang ke Singapura untuk rawatan.

Dr Ismail berkata, bagi mengelakkan risiko jangkitan H1N1, orang ramai diminta menundakan perjalanan ke negara yang dilanda wabak kecuali jika ia benar-benar tidak dapat dielakkan.

"Mereka yang menjalani kuarantin di rumah diminta mematuhi arahan tidak berada di tempat awam, menghadiri kelas tambahan atau kelas agama," katanya.

0 comments: