Followers

Thursday, December 3, 2009

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus bertambah

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan pada sebelah pagi ini bertambah, menjadikan keseluruhannya 59 orang berbanding 36 orang, malam tadi.

Jurucakap Bilik Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata, setakat jam 9 pagi ini, mereka yang dipindahkan adalah seramai 17 orang di Tumpat, Pasir Puteh (16) dan bakinya di daerah ini.

"Perpindahan itu berikutan hujan lebat di tiga jajahan terbabit sejak tiga hari lalu," katanya di sini.

Hujan lebat itu juga menyebabkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini melepasi bahaya iaitu di paras 9.60 meter.

Paras bahaya sungai itu adalah 9 meter dan sehubungan itu jurucakap berkenaan meminta penduduk di tebing sungai berkenaan agar mengambil langkah berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah.

Sungai utama yang lain juga masing-masing kini berada di paras waspada dan dilaporkan air semakin surut.

Tiada jalan utama menghubungkan negeri ini ditutup kepada lalu lintas dan banjir gelombang ketiga ini telah mengorbankan lima nyawa dan terbaru melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Wan Muhammad Azafar Wan Ahmad tengah hari semalam.

Cuaca di Kelantan ketika ini mendung dengan sesekali hujan lebat dilaporkan masih berlaku terutama di jajahan ini dan Pasir Mas. - Bernama

0 comments: