Followers

Thursday, December 3, 2009

Pos Malaysia keluar setem spesies Araknid

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad dalam usaha mendidik masyarakat mengenali binatang berkaki lapan memilih spesies Araknid, iaitu daripada keluarga Anthropod, sebagai tema setem dan sampul surat hari pertama sempena Minggu Setem 2009 yang akan berlangsung dari 7 hingga 13 Disember ini di Dataran Pahlawan, Melaka.

Pembantu Pengurus Kanan Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah, berkata setem yang akan dikeluarkan pada 7 Disember itu mempunyai empat reka bentuk Araknid tempatan iaitu "fighting spider", "curved spiny spider", "St Andrew's Cross spider" dan Golden orb-web spider".

"Bagi Minggu Setem 2009 ini kami mengeluarkan koleksi setem yang akan memaparkan spesies Araknid yang unik dan jarang dilihat tetapi boleh ditemui di hutan kita.

"Keluaran kali ini bukan sahaja dapat menambah koleksi pencinta setem tetapi dalam masa yang sama dapat berkongsi maklumat dengan masyarakat dalam mengenali spesies ini dengan lebih dekat," katanya.

Diyana berkata, sempena Minggu Setem 2009 ini juga Pos Malaysia akan menawarkan pasport filateli secara percuma kepada individu yang membeli koleksi setem Araknid dan produk filateli lain bernilai RM50. - Bernama

0 comments: