Followers

Friday, December 18, 2009

Malaysia harap COP15 capai sekurang-kurangnya komitmen politik: Najib

COPENHAGEN: Malaysia berharap Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (COP15) sekurang-kurangnya menghasilkan komitmen politik yang akan menjurus kepada pemeteraian perjanjian yang mengikat bagi menangani ancaman perubahan iklim, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, perjanjian baru yang mengikat itu boleh dimeterai menerusi satu lagi perjumpaan yang perlu diadakan awal tahun depan jika persidangan Copenhagen gagalmencapai kesepakatan.

"Saya lihat masih banyak perbezaan pendapat yang amat ketara, tertakluk kepada apa yang akan berlaku dalam tempoh 24 jam tetapi nampaknya setakat ini sukar dicapai satu persetujuan yang mengikat.

"Tetapi ada kemungkinan kita boleh mencapai apa yang dikatakan sebagai satu komitmen politik tetapi komitmen politik ini perlu disusuli dengan satu lagi perjumpaan dalam masa terdekat iaitu pada awal tahun hadapan supaya dapat dimeterai perjanjian yang mengikat antara semua negara," katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Najib diminta mengulas mengenai peluang untuk persidangan kali ini yang masuk hari terakhir hari ini, mencapai kejayaan dengan pemeteraian persetujuan yang mengikat untuk semua negara.

Terdahulu, ketika berucap pada persidangan itu, Perdana Menteri menggariskan komitmen dan cadangan Malaysia bagi menangani ancaman perubahan iklim.

Antara lain, Malaysia menyatakan kesediaan mengguna pakai petunjuk bagi pengurangan secara sukarela pelepasan karbon sehingga 40 peratus daripada intensiti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 berbanding tahap 2005, tertakluk kepada penyediaan bantuan kewangan secukupnya dan pemindahan teknologi oleh negara maju.

Malaysia juga menggesa negara maju untuk menyumbang AS$200 bilion setahun menjelang 2012 dan seterusnya AS$800 bilion setahun bagi membantu negara membangun melaksanakan pelan tindakan bagi menangani ancaman perubahan iklim.

Najib berkata, beliau tidak menaruh harapan besar Amerika Syarikat akan memberikan komitmen seperti yang diharapkan dunia dalam usaha menangani ancaman perubahan iklim kerana Presiden Barrack Obama sendiri menghadapi kekangan dalam negara.

Beliau berkata, perbezaan pendapat antara Amerika Syarikat dan China, iaitu dua negara yang paling banyak melepaskan karbon, juga sukar diselesaikan.

"Saya nampak masih ada kesukaran dan kita pun tidak tahu apa yang akan ditawarkan Presiden Obama tetapi beliau ada kekangan di Amerika Syarikat, iaitu sama ada apa yang beliau nyatakan di sini boleh diterima Kongres atau tidak," katanya.

Mengenai pendirian negara maju untuk hanya menyediakan peruntukan AS$10 bilion setiap tahun untuk membantu negara membangun menangani ancaman perubahan iklim, Najib berkata mereka perlu melakukan pengorbanan besar bagi menjelaskan "hutang" kepada dunia.

"Prinsipnya adalah adil kerana merekalah penyumbang besar kepada pelepasan karbon selama ini. Maka amat wajarlah untuk mereka membayar apa yang dinamakan hutang mereka kepada dunia," katanya.

Ditanya reaksi pemimpin lain terhadap ucapan beliau itu, Perdana Menteri berkata ada pemimpin negara membangun yang mengucapkan tahniah dan syabas.

"Kita tengoklah dalam sehari dua ini apa reaksi mereka kepada ucapan ini tetapi saya cuba untuk melakarkan bukan saja dari segi perspektif Malaysia tetapi pespektif global, terutama daripada aspek negara membangun," katanya.

0 comments: