Followers

Friday, December 18, 2009

Tindakan terhadap Ahli Parlimen BN yang gagal hadir sidang: PM

COPENHAGEN: Datuk Seri Najib Razak berkata kegagalan ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir pada sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010 Isnin lalu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Sambil menegaskan beliau memandang serius perkara itu, Perdana Menteri berkata arahan sudah diberikan supaya semua Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen hadir pada persidangan itu.

"Saya sudah dapat senarai mereka yang tak hadir dan kita akan menyusulinya dengan tindakan sewajarnya. Sekurang-kurangnya kita kena buat satu perjumpaan untuk mengingatkan tanggungjawab mereka untuk hadir pada persidangan Parlimen," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini malam tadi.

Perdana Menteri diminta mengulas keadaan di mana Bajet 2010 diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi saja menerusi undi belah bahagian, iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.

Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada 11.15 malam itu.

Seramai 74 Ahli Parlimen BN tidak hadir di Dewan Rakyat ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.

Kehadiran Ahli Parlimen BN cuma 48 peratus, iaitu 66 daripada 137 anggota berbanding 77 peratus pembangkang, iaitu 63 daripada 82 anggota.

0 comments: