Followers

Friday, September 4, 2009

Sabah & Sarawak: Tambang baru mulai 8 September


TERMINAL bas ekspres bandar raya di Inanam kelihatan agak lengang kelmarin kerana belum ramai penumpang membeli tiket balik kampung sempena Aidilfitri.

21 pengusaha bas diminta kena kadar serentak

KOTA KINABALU: Mulai 8 September ini, penumpang bas ekspres di Sabah termasuk mereka yang menempah tiket untuk balik kampung sempena Aidilfitri akan dikenakan tambang baru mengikut kenaikan 30 peratus kadar tambang yang diluluskan kerajaan berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Presiden Majlis Pengusaha Bas Ekspres Sabah (Seboc), Donald Hanafi, berkata pihaknya sudah memaklumkan pelaksanaan tambang baru itu kepada 21 pengusaha bas ekspres dan meminta mereka menggunakan kadar berkenaan secara serentak bagi mengelak kekeliruan pengguna.

Beliau berkata, pengusaha bas ekspres di Sabah khususnya yang beroperasi antara ibu negeri dan destinasi di Pantai Timur sepakat menggunakan kadar baru itu pada musim perayaan bulan ini kerana menjangka ramai penumpang akan menggunakan perkhidmatan mereka.

Katanya, walaupun kerajaan sudah memberi lampu hijau kepada syarikat bas ekspres menaikkan tambang mengikut kadar baru yang ditetapkan bermula 1 Ogos lalu, pihaknya menangguhkan pelaksanannya bagi mengelak kejutan mendadak di kalangan pengguna.

"Jika terus menaikkan tambang mengikut tarikh berkuat kuasa yang diluluskan kerajaan, kami bimbang pengguna akan terkejut dan marah kepada kami. Sekarang lebih sebulan kadar baru itu diperkenalkan, barulah kami menggunakannya.

"Kalau pengguna marah, kami akan menerangkan kepada mereka bahawa ia adalah kadar baru ditetapkan kerajaan yang sepatutnya dilaksanakan sejak 1 Ogos lalu lagi," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Berdasarkan kenaikan itu, katanya, kadar tambang baru bagi destinasi Kota Kinabalu-Tawau ialah RM71 seorang, naik RM6 berbanding RM65 seorang sebelum ini, manakala kadar baru bagi destinasi Kota Kinabalu-Semporna ialah RM75 seorang, naik RM10 berbanding RM65 sebelum ini.

Bagi destinasi Kota Kinabalu-Lahad Datu, katanya, tambang baru ialah RM52 berbanding RM45 sebelum ini, manakala kadar tambang bagi destinasi Kota Kinabalu-Kunak dan dan Kota Kinabalu-Sandakan masing-masing ialah RM58 dan RM42 seorang berbanding RM50 dan RM35 sebelum ini.

Pertengahan Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, mengumumkan kadar tambang bas ekspres di Sabah naik tiga sen kepada 13 sen sekilometer berbanding 10 sen sekilometer sebelum ini.

Dengan kenaikan itu, Donald berkata pihaknya yakin syarikat bas ekspres di Sabah mampu memperolehi pendapatan lebih baik berbanding sebelum ini, khususnya untuk menampung kos penyelenggaraan kenderaan, bahan api dan gaji pekerja.

"Kutipan tambang pengusaha bas ekspres sepanjang musim perayaan ini boleh digunakan untuk memberi bonus kepada pekerja mereka. Jadi, tekanan mengendalikan penumpang yang ramai pada musim perayaan dapat juga dikurangkan.

"Bukannya kita mahu mengambil kesempatan menaikkan tambang pada musim perayaan, sebaliknya pengguna juga perlu faham kami memerlukan keuntungan untuk memastikan perkhidmatan disediakan lebih berkualiti dan memuaskan mereka," katanya.

Mengenai bilangan bas ekspres untuk menampung penumpang yang dijangka meningkat sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, Donald berkata, jumlah sedia ada didapati mencukupi.

Beliau berkata, ada 200 bas ekspres beroperasi di Sabah khususnya bagi destinasi antara ibu negeri dan Pantai Timur.

"Bilangan bas memang mencukupi. Apa yang kami perlu lakukan cuma menambah jadual perjalanan bas daripada lima perjalanan sehari pada hari biasa kepada 10 perjalanan sehari pada musim perayaan ini.

"Saya yakin langkah ini dapat menampung jumlah penumpang yang ada. Tahun lalu juga kami buat seperti ini dan ia tidak mendatangkan masalah kepada penumpang yang ingin balik kampung," katanya.

Bagaimanapun, katanya jika keadaan penumpang terlalu ramai pada tahun ini, pihaknya bersedia menggunakan pendekatan lain seperti menyewa bas pelancong dan bas sekolah untuk dijadikan bas ekspres dan mendapatkan permit perjalanan sementara daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

0 comments: