Followers

Friday, September 4, 2009

Isu Tarian Pendet tak wajar dibangkit: TPM

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu bantahan 'Tarian Pendet' tidak wajar lagi berbangkit kerana ia bukan membabitkan pihak berkuasa Malaysia, sebaliknya hasil penerbitan rangkaian media Discovery Channel (DC).

Timbalan Perdana Menteri berkata, bahan promosi pelancongan yang disiarkan DC yang mengandungi video tarian itu adalah hasil rangkaian itu sendiri dan tidak ada kena mengenai dengan Kementerian Pelancongan atau agensi kerajaan lain.

"Saya dimaklumkan mereka (DC) sudah menulis dan memohon maaf serta menjelaskan situasi sebenar, bahan itu bukan datang dari pihak berkuasa Malaysia, tetapi dilakukan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelancongan di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Muhyiddin mengulas kenyataan Menteri Pelancongan Indonesia, Jerowacik yang mengecam promosi pelancongan Malaysia di DC memuatkan Tarian Pendet, tarian penganut agama Hindu di Bali.

Sementara itu, Ng mengesahkan kementeriannya sudah menerima salinan surat penjelasan yang dihantar DC kepada Kementerian Pelancongan Indonesia.

Mengenai mesyuarat itu, Muhyiddin berkata, ia turut membincangkan usaha yang perlu dilakukan bagi meningkatkan sektor pelancongan negara ketika penularan wabak Influenza A (H1N1).

Katanya, lima pendekatan akan dilakukan iaitu antaranya meningkatkan pasaran produk pelancongan baru; pasaran pelancongan khusus yang ada kelebihan; menggalakkan promosi menerusi kempen mulut ke mulut dan meningkatkan perkhidmatan pelancong di pintu masuk negara.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, beliau tidak tahu mengenai khabar angin kononnya ada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) di Terengganu yang mahu melompat parti.

"Saya percaya mereka penyokong Umno yang ada kedudukan dalam DUN. Mungkin ada pihak tertentu mahu mengambil kesempatan, tetapi saya percaya mereka (ahli Umno) memahaminya kerana mereka berpengalaman," katanya.

0 comments: