Followers

Friday, September 4, 2009

Sabah & Sarawak: Pura-pura tidak tahu


LIAH (tengah) bersama dua pegawai KDRM Sabah mempamerkan mercun dan bunga api bernilai RM300,000 dirampas di sebuah rumah di Keningau, Kota Kinabalu, semalam.

Pemilik rumah dakwa tak seludup, sembunyi mercun, bunga api

KOTA KINABALU: Pura-pura tidak tahu. Alasannya, rumah kosong yang diserbu sepasukan pegawai dan anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) itu terletak jauh dari rumahnya dan dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh seorang lelaki yang `meminjam' rumah berkenaan.

Meskipun mengakui rumah kosong itu adalah miliknya, pemilik rumah itu mendakwa tidak terbabit dalam penyeludupan dan penyembunyian mercun dan bunga api berkenaan kerana tidak sering meninjau apa yang berlaku di rumah itu.

Itulah dakwaan seorang lelaki berusia awal 50-an yang ditahan di sebuah rumah di Kampung Batu 27, Jalan Keningau-Tenom, Keningau kira-kira 200 kilometer dari sini, jam 10 pagi Isnin lalu.

Suspek adalah pemilik rumah kosong itu tetapi tidak mengakui ada kaitan dengan 319 kotak mercun dan bunga api bernilai RM300,000 yang dirampas sepasukan pegawai dan anggota KDRM.

Dia ditahan di rumahnya yang agak jauh dari rumah kosong berkenaan kira-kira sejam selepas serbuan itu.

Berita Harian difahamkan, ketika disoal siasat, lelaki terbabit mendakwa tidak terbabit dalam kegiatan itu, sebaliknya mendakwa ada seorang kontraktor pendawaian yang pernah membuat kerja di sekitar kampung itu meminta daripadanya untuk `meminjam' rumah kosong itu.

Bagaimanapun, suspek tetap ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan membawa masuk bahan larangan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Timbalan Pengarah KDRM Sabah, Liah Omar, berkata sepasukan pegawai dan anggota KDRM (Pencegahan) melakukan intipan di rumah kosong tidak bernombor dalam kebun pisang di kampung berkenaan, sebelum menyerbu kira-kira jam 10 pagi.

"Pemeriksaan menjumpai 319 kotak mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM300,000 dalam rumah berkenaan. Sejam selepas itu, pegawai KDRM menyerbu sebuah lagi rumah kampung tidak jauh dari rumah itu dan menahan seorang lelaki berusia awal 50-an," katanya pada sidang media di pejabat KDRM di Sepangar, dekat sini Rabu lalu.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan suspek, Liah berkata, KDRM belum dapat memastikan sama ada dia benar-benar tidak terbabit dalam penyeludupan bahan itu atau bertindak sebagai perantara pihak yang menyeludup dengan pihak yang menyembunyi dan mengedarkannya ke tempat lain.

"Siasatan masih dijalankan sama ada bahan itu diseludup melalui jalan laut atau darat. Kami percaya mercun dan bunga api ini ingin dipasarkan di sekitar Keningau dan beberapa bandar kecil lain berhampirannya," katanya.

Liah juga berkata, rampasan berkenaan adalah yang terbesar setakat ini selepas KDRM merampas 239 kotak mercun dan bunga api bernilai RM250,000 di Menggatal, dekat sini pada 18 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, KDRM merampas 239 kotak mercun dan bunga api bernilai RM250,000 di sebuah rumah tidak bernombor di Menggatal dan menahan seorang suspek berusia dalam lingkungan 30-an.

Penyeludup dipercayai menggunakan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar untuk membawa masuk mercun, bunga api, rokok dan minuman keras dengan menggunakan taktik mengisytiharkan bahan berkenaan sebagai tepung, pakaian dan barangan elektrik ketika melalui pemeriksaan di pelabuhan negara asal sebelum memasuki negeri ini.

0 comments: