Followers

Friday, September 4, 2009

Kedatangan pelancong ke Malaysia terus meningkat

KUALA LUMPUR: Walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang lembab dan pandemik Influenza A (H1N1), jumlah kedatangan pelancong ke negara ini meningkat sebanyak 3.6 peratus dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Jumlah kedatangan pelancong yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu ialah 12.89 juta orang.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dalam ucapan pada perasmian pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini hari ini, berkata daripada Januari hingga Julai tahun ini, ketibaan pelancong yang dicatat ialah 13.35 juta orang.

"Jumlah ketibaan itu adalah bukti bahawa walaupun dunia menghadapi pandemik H1N1, orang ramai masih boleh menikmati percutian dan pada masa yang sama mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dijangkiti," katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Ng berkata walaupun situasi semasa tidak menggalakkan orang ramai berada di kawasan sesak, masih ada tempat yang mereka boleh pergi untuk berehat dan menghilangkan tekanan daripada kesibukan harian.

"Influenza tidak sepatutnya menjadi sebab untuk menghalang mereka yang ingin melancong terutama mereka yang sihat dan tidak termasuk dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi," katanya.

Sementara itu, Ng berharap pameran Matta akan terus memainkan peranan penting dalam merangsang pelancongan tempatan dan mempromosikan pakej pelancongan Cuti-Cuti Malaysia.

"Ini sangat penting kerana ia selaras dengan objektif kerajaan untuk mempromosi pelancongan dalam negeri.

"Daripada pengalaman lepas, kita dapati pelancong dalam negeri yang membantu mengekalkan idustri pelancongan kita terutama pada masa krisis," katanya.

Beliau turut menggesa pengusaha pelancongan untuk melihat kemungkinan mempromosi program inapan desa di semua negeri, dan kerajaan sangat komited dalam membangunkan inapan desa dengan tabung khas telah diperuntukan untuk menaiktaraf kemudahan rumah-rumah terlibat.

Sebanyak 170 peserta pameran terdiri daripada syarikat penerbangan, hotel, resort, pengusaha pelancongan, agensi pelancongan dan syarikat berkaitan pelancongan mengambil bahagian pada pameran Matta yang berlangsung selama lima hari mulai hari ini.

Sebanyak 830 gerai pameran disediakan pada pameran yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini. - Bernama

0 comments: