Followers

Sunday, September 13, 2009

Rakyat tentukan kelangsungan kuasa BN: PM

TAWAU: Datuk Seri Najib Razak berkata dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini kuasa rakyat yang akan menentukan kelangsungan kuasa Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata bagi memastikan BN terus mendapat mandat memerintah negara ini, parti perlu bersifat adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kepercayaan.

"Ini semua adalah kerana kalau kita dapat pertahankan hak semua kaum dan berlaku adil maka rakyat akan lebih senang kepada kita dan inilah juga perinsip kerajaan kita iaitu kerajaan BN.

"Kita akan ambil kira semua golongan supaya mereka tidak berasa terpinggir atau jauh hati daripada kita malah setiap kelompok, setiap kumpulan, setiap kaum akan dapat pembelaan sebaik-baiknya melalui dasar kerajaan kita iaitu kerajaan BN," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama di Tawau sempena majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan amal kepada anak yatim dan fakir miskin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pemimpin parti komponen BN dan bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai.

Najib berkata, prinsip keadilan yang digagaskannya melalui 1Malaysia adalah selaras dengan tuntutan agama Islam yang mahukan umatnya berlaku adil kepada semua kaum dan agama.

Katanya, konsep 1Malaysia itu menepati perkara yang dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika mendirikan kerajaan Madinah yang menjadikan Islam sebagai teras pemerintahan dan memberi keadilan kepada semua kaum, melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan kepada kaum bukan Islam.

"Jika kita melihat konsep 1Malaysia, inilah (keadilan) inti patinya yang berdasarkan prinsip saling hormat menghormati, menerima kepelbagaian itu sebagai kekuatan kepada kita dan bukan satu (perkara) yang membawa masalah kepada kita. - Bernama

0 comments: