Followers

Sunday, September 20, 2009

Pelajar kita terselamat gempa Bali


PENDUDUK yang cedera akibat gempa menerima rawatan di Hospital Sanglah, Denpasar, semalam. - Foto AFP

7 penduduk cedera akibat gegaran 6.4 skala Richter

JAKARTA: Semua 239 pelajar Malaysia di Bali disahkan selamat dalam kejadian gempa di pulau peranginan itu yang berlaku pada jam 6.06 pagi semalam waktu Indonesia Barat.

Gempa berukuran 6.4 pada skala Richter itu berpusat di 101 kilometer ke tenggara Nusa Dua dengan kedalaman 36 kilometer.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, berkata sebaik menerima panggilan daripada beberapa pemimpin pelajar yang merasakan gegaran gempa bumi itu, MSD menghubungi pelajar Malaysia di pulau itu untuk mengesahkan keadaan mereka.

"Alhamdulillah, semua selamat walaupun banyak yang dapat merasakan gegaran kuat ketika itu," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 80 pelajar di Bali sudah memaklumkan mereka pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidilfitri.

Laporan Badan Meteorologi, Cuaca dan Geofisik Indonesia berkata, gempa bumi dapat dirasakan di perairan Maluku Utara pada jam 1.34 pagi waktu Indonesia Barat berpusat di kilometer 117, Barat Laut Ternate-Maluku Utara.

Sementara itu, mengenai sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di sini, Dr Junaidi berkata, pelajar di Jakarta akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di kedutaan.

"Mereka akan menyertai ratusan rakyat Malaysia menunaikan solat sunat Aidilfitri di kedutaan dan menikmati hidangan hari raya serta bersilaturahim," katanya.

Di DENPASAR, gempa bumi itu dilapor mencederakan tujuh orang dan menyebabkan pelancong serta penduduk yang panik keluar dari hotel dan rumah.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan kerosakan besar diterima.

Jurucakap Hospital Sanglah, Dr Ken Wirasandi, berkata tujuh dirawat akibat cedera di kepala serta patah tulang di hospital itu.

Katanya, wanita dan kanak-kanak berlari keluar dari rumah sambil menjerit ketika tanah mula bergoncang.

"Saya takut kerana ia amat kuat," kata pelancong Belanda yang tinggal di pantai Kuta, Ernst Raynaldo.

Katanya, beliau segera berlari ketika melihat ramai yang lain bergegas terjun ke dalam kolam renang dan ruang terbuka yang paling dekat.

Gempa di Bali berlaku dua minggu selepas gegaran kuat di Jawa menyebabkan hampir 100 terkorban atau masih hilang serta meranapkan ribuan rumah. � Bernama/AP

0 comments: