Followers

Sunday, September 20, 2009

Aidilfitri disambut meriah, semangat 1Malaysia menyerlah

KUALA LUMPUR: Selepas genap sebulan berpuasa, umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama-sama keluarga dan tradisi rumah terbuka dengan semangat baru 1Malaysia.

Di setiap pelusuk negara, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin untuk menunaikan solat Aidilfitri pada pagi Syawal.

Amalan mengadakan rumah terbuka yang juga lumrah pelbagai kaum di Malaysia semasa sambutan hari kebesaran masing-masing, membawa keistimewaan kali ini dengan menyahut dan menyemarakkan semangat 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Di ibu negara, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di Istana Negara.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berangkat ke Masjid Negara untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama rakyat jelata.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 10,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kemudiannya mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) MU dari 10 pagi hingga 3 petang.

Di KUALA TERENGGANU, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Penglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, menunaikan solat sunat hari raya bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Mengiringi baginda Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong dan kerabat diraja.

Baginda kemudian menziarahi makam diraja di perkarangan masjid itu.

Sementara itu, Ahmad mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Sri Iman, di Batu Burok. - Bernama

0 comments: