Followers

Sunday, September 20, 2009

Duta Indonesia harap hubungan dua hala dipertingkat

KUALA LUMPUR: Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar, hari ini mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat Malaysia dan melahirkan harapan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan lagi

"Saya mengucapkan Selamat Hari Raya (kepada rakyat Malaysia) bagi pihak kerajaan Indonesia dan rakyatnya, semoga hubungan dua negara dapat dipertingkatkan lagi dan membawa kesejahteraan," katanya kepada Bernama selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 1,500 warga Indonesia di kediaman rasminya di Wisma Duta, Jalan U Thant di sini.

Sementara itu, walaupun kebanyakan warga Indonesia berkenaan merindui keluarga masing-masing namun mereka tetap gembira menyambut Hari Raya di sini.

Ali Kasim, 44, dari Sulawesi Selantan, yang pertama kali menyambut lebaran di perantauan, berkata walaupun berasa sedih tetapi beliau masih dapat merasai kemeriahan suasana raya di Malaysia.

Rizki Erianto, 20, yang sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan teknologi maklumat di sini berkata, suasana hari raya amat berbeza tanpa kehadiran ibu bapanya.

"Saya benar-benar rindukan kampung halaman. Saya amat berharap yang keluarga saya ada bersama saya hari ini. Tetapi saya tetap gembira kerana saudara mara dan rakan Malaysia saya ada bersama-sama untuk meraikan hari yang mulia ini," katanya.

Seorang lagi ialah Sita Uni Syarifah, 32, dari Jakarta yang mengikuti suaminya ke Malaysia atas urusan kerja.

"Ini pertama kali kami beraya di perantauan. Kami amat merindui keluarga kami kerana siapa yang tidak mahu pulang untuk bersama-sama orang yang disayangi pada Hari Raya. Tetapi kami tetap gembira dengan ditemani rakan-rakan Malaysia di sini," katanya. - Bernama

0 comments: