Followers

Sunday, September 20, 2009

1Malaysia terserlah pada rumah terbuka PM, Kabinet

PUTRAJAYA: Daripada menu hinggalah pengunjung pelbagai kaum, semangat 1Malaysia terserlah di kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing pada majlis rumah terbuka anjuran Datuk Seri Najib Razak buat pertama kalinya sebagai Perdana Menteri.

Ribuan orang berpusu-pusu ke Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di sini untuk mengunjungi rumah terbuka itu yang bermula 11 pagi.

Najib yang lengkap berpakaian baju Melayu merah jambu dan isteri beliau, Datin Rosmah Mansor, serta menteri Kabinet beramah-mesra dengan tetamu dan pengunjung.

Duta dan diplomat asing serta tokoh korporat termasuk adik Najib, Datuk Seri Nazir, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

Pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dijamu dengan pelbagai juadah termasuk makanan kegemaran ramai seperti satay selain ketupat, lemang, thosai dengan kari dhal dan kuetiau goreng.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan konsert artis tempatan.

Terdahulu, Perdana Menteri dan Rosmah menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di Istana Negara sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Selepas solat, Najib, Rosmah dan anak perempuan mereka turut menziarahi makam ayahanda beliau di Makam Pahlawan yang terletak dalam kawasan Masjid Negara. - Bernama

0 comments: