Followers

Sunday, August 23, 2009

WHO seru derma vaksin H1N1

BEIJING 22 Ogos - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru pengeluar ubat-ubatan agar mendermakan vaksin selesema babi (H1N1) kepada negara-negara miskin di dunia yang terdedah kepada risiko jangkitan.

Penolong Ketua Pengarah WHO, Dr. Keiji Fukuda berkata, pihaknya sedang berusaha melobi negara maju dan pengeluar vaksin selesema agar menghulurkan sumbangan.

"Adalah jelas negara-negara termiskin lebih berisiko terhadap beberapa penyakit dan ini adalah satu kebimbangan besar.

"Kami berharap lebih banyak syarikat akan tampil menyatakan persetujuan untuk mendermakan lebih banyak vaksin," kata Fukuda pada acara sampingan dalam simposium pegawai dan pakar kesihatan di Beijing hari ini.

WHO menjelaskan, virus selesema babi telah membunuh hampir 1,800 nyawa di seluruh dunia setakat 13 Ogos lalu.

Buat sementara ini, selesema babi adalah sederhana dan kebanyakan orang pulih tanpa memerlukan rawatan tetapi impak lebih besar dihadapi negara yang rakyatnya berdepan dengan AIDS, malaria, tibi dan penyakit-penyakit lain.

Negara-negara kaya seperti Britain, Kanada dan Perancis telah menempah vaksin selesema untuk kesemua rakyat mereka namun kebanyakan negara membangun tidak mempunyai rancangan atau kemampuan sedemikian.

Pegawai kesihatan dan pengeluar ubat-ubatan sedang mencari jalan bagi mempercepatkan pengeluaran vaksin sebelum kawasan hemisfera utara dilanda musim selesema beberapa bulan lagi. Vaksin mungkin boleh didapati bermula bulan ini hingga Disember ini.

Fukuda berkata, Pengerusi WHO, Margaret Chan telah bertemu dengan syarikat pengeluar ubatan untuk merayu secara langsung.

Namun setakat ini hanya dua syarikat menyatakan kesanggupan menyumbang 150 juta dos untuk negara membangun, GlaxoSmithKline PLC dari Britain and Sanofi-Aventis dari Perancis.

Novartis AG dari Switzerland pula menyatakan kesediaan menjual vaksin kepada negara membangun pada harga diskaun.

Tambah Fukuda, WHO juga sedang berusaha mencari pilihan lain seperti merundingkan harga vaksin lebih rendah kepada negara miskin dan membantu mereka mewujudkan fasiliti pengeluaran mereka sendiri.

Pengarah Pasifik Barat WHO, Shin Young-soo semalam berharap China di mana 10 pengeluar ubatan sedang menjalankan ujian klinikal vaksin selesema, dapat memainkan peranan dalam membantu negara miskin.

Sebaik saja cuaca sejuk melanda hemisfera utara, negara-negara di kawasan itu akan menyaksikan kes selesema babi meningkat sekali ganda setiap tiga hingga empat hari selama beberapa bulan sehinggalah jangkitan mencapai kemuncak. - AP

0 comments: