Followers

Sunday, August 23, 2009

Usaha PPPM tingkatkan kesedaran bahaya H1N1


MOHD. Firdaus Abdullah (tengah) mengedarkan penutup hidung dan mulut percuma kepada orang ramai dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di Terminal Makmur, Kuantan, Pahang, semalam. - Mingguan / RUSHDI SALLLEH


KUANTAN 22 Ogos - Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) hari ini melancarkan kempen mengedarkan penutup hidung dan mulut percuma di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1).

Presidennya, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pelancaran kempen tersebut dibuat secara serentak di semua bandar utama di seluruh negara bermula pukul 11 pagi ini.

"Ini merupakan inisiatif PPPM untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penularan wabak H1N1 yang menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) akan berlaku ledakan.

"Kita nampak masih ada individu yang tidak peka dan mengambil mudah wabak tersebut dengan tidak memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga.

"Justeru adalah menjadi harapan kita melalui kempen ini, kita dapat meningkatkan kesedaran dan kepekaan orang ramai terhadap wabak H1N1," katanya kepada pemberita semasa menyertai kempen tersebut di Terminal Makmur di sini hari ini.

Mohd. Firdaus memberitahu, di Kuantan misalnya, PPPM mengedarkan kira-kira 1,000 keping penutup manakala di Kuching dan Kota Kinabalu pula masing-masing 2,000 dan 3,000 keping.

Menurutnya, masih ramai di kalangan masyarakat menganggap 'tidak ada apa-apa yang berlaku' menyebabkan mereka mengambil sikap sambil lewa terhadap bahaya wabak H1N1.

Katanya, PPPM akan memperluaskan kempen tersebut ke peringkat daerah bagi membantu kerajaan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap wabak tersebut.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian Kesihatan memastikan bekalan penutup hidung dan mulut sentiasa cukup di pasaran berikutan pertambahan permintaan terhadap alat tersebut masa kini.

"Pihak kementerian diharap dapat memberi arahan kepada pengeluar supaya menyediakan bekalan penutup ini secukupnya dan jangan menunggu sehingga stok habis," katanya.

Sementara itu, beberapa individu yang ditemui menyambut baik usaha PPPM tersebut dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya H1N1.

Raja Nasarudin Raja Sahab, 65, berkata, dalam keadaan sekarang masyarakat perlu menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan termasuk memakai penutup mulut dan hidung untuk mengurangkan jangkitan.

"Sudah menjadi sikap segelintir masyarakat kita, selagi penyakit itu tidak kena pada batang tubuhnya, dia akan ambil tidak peduli sahaja," katanya.

Bagi seorang penuntut, C. Jeveta, 23, pula, orang ramai perlu mengutamakan keselamatan dengan menyahut seruan kerajaan supaya memakai topeng sebagai pencegahan awal.

"Kena pakai untuk keselamatan," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

0 comments: