Followers

Sunday, August 23, 2009

230 kes baru H1N1 dikesan


PELAJAR Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Ching diberi minuman herba bagi membantu mengurangkan penularan wabak H1N1 di Kuantan, semalam.

Jumlah pesakit menurun kepada 1,476 daripada 1,556 kelmarin

KUALA LUMPUR: Tiada kematian akibat wabak selesema babi (H1N1) sepanjang tempoh 24 jam, menjadikan angka korban akibat wabak itu sehingga semalam, kekal 68 orang sejak kematian pertama dilaporkan pada 21 Julai lalu.

Bagaimanapun, seramai 230 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke wad, manakala 310 pesakit sudah dibenarkan keluar, menjadikan jumlah pesakit menurun kepada 1,476 daripada 1,556 kelmarin yang sedang dirawat di 102 hospital termasuk tiga hospital swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, hanya 316 pesakit disahkan positif H1N1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada jumlah berkenaan, 40 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes adalah kemasukan baru, manakala lapan kes dikeluarkan daripada unit itu.

Daripada 40 kes yang dirawat di ICU, 25 kes mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak dan bayi (7), diabetes (5), penyakit kronik (5), asma (3), obesiti (3), mengandung dan bersalin (1) dan kanak-kanak istimewa (1).

"Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan wabak H1N1 di dunia masih aktif dan membabitkan 182 negara. Sehingga jam 8 pagi semalam, terdapat peningkatan kes jangkitan influenza A (H1N1) sebanyak 1,227 kes menjadikan jumlah kes terkumpul 234,569 dengan peningkatan kes kematian sebanyak 34, menjadikan jumlah kematian terkumpul 2,433 orang.

"Ini tidak menunjukkan gambaran sebenar oleh kerana WHO tidak lagi mewajibkan laporan kes," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan masih menerima pertanyaan daripada orang ramai dan pengamal perubatan swasta mengenai bekalan ubat antiviral melalui program rangkaian Klinik Cegah dan Rawat H1N1 yang dilancarkan 20 Ogos lalu.

Katanya, pengamal perubatan yang ingin menyertai program berkenaan dan mereka yang ingin mengetahui senarai klinik yang terbabit diminta melayari http://www.h1n1.net.my untuk maklumat lanjut. "Usaha mengekang penularan wabak H1N1 memerlukan kerjasama semua. Individu yang mempunyai gejala ILI bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan jangkitan dengan tidak mengunjungi tempat awam yang sesak termasuk bazar Ramadan, masjid dan rumah ibadat. Ini kerana mereka masih boleh menyebarkan penyakit walaupun mengalami gejala demam dan batuk yang ringan," katanya.

0 comments: