Followers

Sunday, August 23, 2009

Polisi insurans merangkumi rawatan H1N1 - PIAM

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menjelaskan, polisi Insurans Hospital dan Pembedahan (HSI) adalah merangkumi rawatan bagi penyakit berjangkit termasuk selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pengarah Eksekutif PIAM, C.F. Lim berkata, secara umumnya polisi-polisi HSI tidak memasukkan pengecualian terhadap rawatan hospital akibat penyakit berjangkit.

Bagaimanapun jelasnya, terdapat polisi tertentu yang secara jelas mengecualikan tuntutan bagi rawatan penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantin oleh undang-undang.

"Ini bermakna jika H1N1 diklasifikasi oleh undang-undang Malaysia sebagai penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantin, maka polisi itu tidak merangkuminya termasuk perbelanjaan perubatan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa syarikat-syarikat insurans menyemak semula polisi dan terma perjanjian bagi memastikan pesakit H1N1 diberi perlindungan sewajarnya.

Katanya, langkah itu termasuk meneliti secara jelas jenis-jenis penyakit yang dilindungi atau dibayar dan menjelaskan sama ada H1N1 dikecualikan atau tidak.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut menggesa syarikat-syarikat insurans supaya melindungi semua pemegang polisi yang disahkan menghidap H1N1.

Tambah Lim, perlindungan dan polisi kesihatan adalah berbeza antara satu syarikat dengan syarikat insurans lain.

"Ia bergantung pada syarikat berkenaan sama ada mahu memasukkan H1N1 dalam polisi mereka,'' katanya.

Beliau juga berkata, insurans perjalanan pula merangkumi kemalangan, perubatan dan perbelanjaan seumpamanya, kehilangan bagasi, barangan peribadi dan duit, kehilangan pasport, tanggungan peribadi, kelambatan bagasi, kelambatan perjalanan, rampasan dan penghantaran balik ke negara asal.

"Selalunya semua agensi insurans menyediakan faedah yang sama dalam polisi insurans perjalanan.

"Secara umumnya, perbelanjaan untuk perubatan dan rawatan berkaitan H1N1 diliputi di bawah polisi insurans perjalanan tetapi ia tertakluk pada syarat polisi masing-masing," jelasnya.

0 comments: