Followers

Monday, August 10, 2009

Utara: Dua daripada 32 kes H1N1 disahkan positif

KERAJAAN Pas Kedah memaklumkan sebanyak 32 kes selesema babi atau H1N1 dicatatkan di negeri ini dengan dua daripada disahkan positif dan masih dirawat di hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Ismail Salleh, berkata dua kes positif H1N1 itu adalah membabitkan seorang wanita mengandung berusia 25 tahun dan warga emas berumur 56 tahun.

"Difahamkan, wanita berusia 25 tahun itu sedang mengandung kira-kira 28 minggu, manakala warga emas yang menghidap darah tinggi itu akan dirawat dengan teliti bagi memastikan keadaan kesihatan mereka berada pada tahap baik.

"Ketika ini, 42 institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah di negeri ini ditutup bagi mengekang penularan wabak berbahaya itu, antaranya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok; Sungai Petani, Kolej kejururawatan, Kolej Perubatan, Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) dan Universiti Utara Malaysia (UUM)," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata).

Dr Ismail berkata, ketika ini hampir 99 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dikesan menghidap influenza biasa (ILI), manakala satu peratus positif H1N1.

"Saya menasihati orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan di hospital kerajaan supaya bersabar, kerana beban tugas doktor dan kakitangan hospital kini berganda iaitu daripada 250 pesakit kini mencecah 500 orang pesakit sehari," katanya.

Beliau berkata, ketika ini wabak H1N1 berada di peringkat penularan kluster membabitkan semua daerah di negeri ini dan langkah kawalan di pintu masuk sempadan dikenal pasti tidak lagi relevan dengan keadaan yang berlaku ketika ini.

"Setakat ini, 1,568 kematian dicatatkan di seluruh dunia akibat H1N1 dan Malaysia mencatat kematian mencecah 1.14 peratus lebih tinggi berbanding dengan negara Asia Tenggara lain iaitu di bawah kosong peratus,” katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata, bagi menangani masalah panik yang timbul di kalangan rakyat, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Wabak H1N1 di peringkat negeri dan daerah.

"Kita akan salurkan maklumat kepada orang ramai dari semasa ke semasa mengenai wabak ini selain mengambil langkah pencegahan untuk meminimumkan penularan virus di kalangan komuniti.

"Selain itu, Jabatan Agama Islam Negeri juga akan mengadakan solat hajat selama tiga malam Jumaat berturut-turut bagi memohon perlindungan Allah," katanya.

0 comments: