Followers

Monday, August 10, 2009

Sabah&Sarawak: Budaya politik jalanan tak manfaatkan rakyat

SANDAKAN: Rakyat Sabah perlu menolak amalan perhimpunan demonstrasi haram yang lebih cenderung merosakkan moral dan melemahkan ekonomi negara, selain menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat di negeri ini serta memecah-belahkan masyarakat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Bung Moktar Radin, berkata budaya politik jalanan itu juga tidak mendatangkan sebarang manfaat .

Budaya politik jalanan itu, katanya, perlu disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara menyeluruh supaya kesejahteraan rakyat kekal terpelihara, terutama di Sabah.

"Rakyat Sabah jangan terpengaruh dengan budaya jalanan ini kerana kita tidak perlu berteriak meminta perhatian.

"Kita lihat orang kita berdemonstrasi di jalanan manakala bangsa lain sedang berniaga di Cyberjaya," katanya berucap pada Mesyuarat Umno bahagian Kinabatangan di sini, kelmarin.

Mesyuarat dirasmikan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan dihadiri lebih 1,000 ahli Umno bahagian Kinabatangan.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, meminta ahli dan pemimpin Umno serta parti komponen Barisan Nasional (BN) mengukuhkan organisasi parti ke arah merangka strategi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, BN perlu kekal menjadi organisasi parti yang kuat dan kukuh, sejajar garis panduan konsep 1Malaysia yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kalau kita sebagai ahli parti tidak mengambil tindakan, konsep 1Malaysia itu akan menjadi ungkapan kosong tanpa perubahan kepada rakyat kerana pemimpin tidak mendahulukan rakyat," katanya.

0 comments: