Followers

Monday, August 10, 2009

Sabah&Sarawak: Gaji RM900 sebulan layak mohon rumah

Syarat longgar supaya golongan sasar boleh miliki kediaman sendiri

BEAUFORT: Rakyat miskin di Sabah yang mempunyai anak sudah bekerja dengan pendapatan kurang RM900 sebulan layak memohon bantuan perumahan disediakan oleh kerajaan untuk golongan kurang berkemampuan di negeri itu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin, berkata kelonggaran itu bertujuan memastikan golongan sasar berpeluang memiliki kediaman selesa.

"Mereka yang dikategorikan sebagai miskin tidak perlu bimbang kerana kerajaan memberi jaminan untuk menghulurkan bantuan kerana kita tidak mahu ada yang terpinggir.

"Mungkin ada anak mereka sudah bekerja tetapi jika pendapatannya kurang RM900 sebulan, mereka masih layak memohon dan berpeluang mendapat rumah disediakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Umno bahagian Beaufort di Dewan Masyarakat Pa' Musa di sini, kelmarin.

Mengenai cadangan melonggarkan syarat permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Lajim berkata, ia terpulang kepada SPNB kerana syarat permohonan ditetapkan syarikat itu.

"SPNB memerlukan pemohon menunjukkan kemampuan untuk membayar pinjaman rumah, termasuk memiliki tanah bergeran. Itu adalah syarat asas perlu dipenuhi bagi kelulusan permohonan.

"SPNB memberi pertimbangan terhadap kepayahan rakyat untuk mendapatkan rumah sendiri dengan menawarkan potongan besar terhadap kos pembinaan rumah yang dibina syarikat itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, rakyat mempunyai pilihan untuk mendapatkan kediaman sendiri dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Mengenai langkah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mewujudkan pasukan khas atau `Flying Squad', Lajim berkata, ia sesuai bagi memantau pelaksanaan projek perumahan menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Langkah ini dapat memastikan projek yang dilaksanakan berjalan lancar dan memenuhi spesifikasi ditetapkan kerajaan.

"Bagaimanapun, pasukan khas itu perlu mendapatkan kerjasama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing supaya pemantauan lebih berkesan," katanya.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, ada beberapa projek PPRT menghadapi masalah seperti hasil kerja yang tidak berkualiti dan rumah didirikan di lokasi yang tidak sesuai.

Beliau berkata, kesannya rumah yang siap dibina itu kurang selesa dan tidak selamat diduduki, sekali gus menjejaskan imej kerajaan dan mendatangkan masalah kepada rakyat miskin.

0 comments: