Followers

Monday, August 10, 2009

Sabah&Sarawak: Komplaks LKIM wajar dibina dekat pasar ikan

KUNAK: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kunak mencadangkan kawasan setinggan di Kampung Pangkalan, di sini dimajukan sebagai Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) - yang pertama seumpamanya di Sabah.

Lokasi berkenaan sesuai untuk tujuan itu berdasarkan kedudukan strategiknya di pinggir pantai dan hampir dengan Pasar Ikan Kunak dan pekan ini.

Pengerusinya, Asiah Hamid, berkata Ahli Lembaga Pengarah PNK Kunak yang berusaha mengenal pasti tapak sesuai untuk kompleks berkenaan mendapati kawasan setinggan itu berpotensi dimajukan sebagai pusat pendaratan ikan bagi 769 ahli PNK Kunak, terutama ahli yang memiliki bot besar.

"Sebagai permulaan, kami akan mencadangkan kepada Majlis Daerah Kunak (MDK) dan LKIM lokasi berkenaan kerana ia hampir dengan pasar ikan dan pekan Kunak. Kawasan pinggir pantai di pekan ini sudah dipenuhi dengan pelbagai bangunan, terutama rumah atas air di kawasan setinggan.

"Kami juga sudah mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Silam, Yang Berhormat Salleh Kalbi untuk mencadangkan kawasan itu. Kami juga akan mendapatkan sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Yang Berhormat Nilwan Kabang," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Katanya, PNK Kunak juga sudah mendapat pengesahan daripada LKIM mengenai kerja pembaikan jeti sedia ada berhampiran Pasar Ayam dan Ikan di pekan ini yang roboh akibat dipukul ribut, April lalu.

Beliau berkata, kerja pembaikan perlu disegerakan kerana sejak jeti itu roboh, bot besar terpaksa berlabuh di tepi tebing konkrit milik MDK manakala bot kecil dan perahu masih mampu menggunakan baki jeti yang masih ada walaupun terpaksa bersesak-sesak.

Akhbar ini pada 13 Julai lalu melaporkan kesengsaraan ahli PNK Kunak mendaratkan ikan di Kampung Pangkalan, berikutan ketiadaan kompleks pendaratan ikan atau jeti yang benar-benar memenuhi keperluan itu.

0 comments: