Followers

Friday, July 17, 2009

Sabah&Sarawak: Ubah suai Wisma Khidmat jadi hospital disegerakan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengarahkan kerja pengubahsuaian Wisma Khidmat, di sini untuk dijadikan hospital swasta dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan perubatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata kerja berkenaan perlu dilaksanakan segera berikutan kekurangan kemudahan perubatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) sekarang.

"Dalam keadaan kekurangan kemudahan perubatan sempurna di QEH, usaha untuk menjadikan Wisma Khidmat sebagai hospital perlu disegerakan. Kita harap ia dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun.

"Dalam taklimat disampaikan pegawai Jabatan Kesihatan negeri, saya kesal kerana masih ada kelewatan dalam menangani kekurangan kemudahan perubatan di hospital kerajaan.

"Oleh itu, hospital baru itu perlu dilaksanakan segera bagi membantu kekurangan kemudahan perubatan di QEH seperti katil dan bilik pembedahan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet negeri, di sini semalam.

Pengubahsuaian Wisma Khidmat itu akan dikendalikan syarikat milik kerajaan negeri, iaitu Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) yang juga pemilik bangunan berkenaan dengan kos kira-kira RM100 juta.

Pada Mei lalu, Musa mengumumkan Wisma Khidmat yang sebelum ini digunakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri akan dijadikan hospital swasta.

Ia berikutan ketiadaan hospital swasta di negeri ini selepas Pusat Perubatan Sabah (SMC) dibeli kerajaan berikutan QEH yang diisytiharkan tidak selamat digunakan akibat masalah struktur.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri, menjelaskan usaha menyediakan hospital swasta itu bukan untuk mendapatkan keuntungan, sebaliknya membantu memberi kemudahan perubatan terbaik kepada rakyat.

"Walaupun ia adalah hospital swasta, kita tidak meletakkan keuntungan sebagai keutamaan. Sebaliknya, membantu meningkatkan kualiti kesihatan rakyat secara keseluruhannya.

"Penyediaan hospital itu mampu menambah sekurang-kurangnya 150 katil dan bilik pembedahan, sekali gus menangani masalah kesesakan di QEH," katanya.

0 comments: