Followers

Friday, July 17, 2009

Sabah&Sarawak: SESB gesa PBT bendung kegiatan sambung elektrik haram

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) segera mengatasi masalah setinggan di kawasan masing-masing bagi membendung kegiatan penyambungan elektrik haram yang dilakukan penduduk.


Pengurus Kanan Komunikasi Korporat SESB, Chenderamata Sinteh, berkata SESB sukar membasmi gejala itu bersendirian kerana penduduk kawasan setinggan membuat penyambungan semula selepas pihaknya menjalankan operasi pemotongan.

Katanya, mereka tidak pernah serik melakukan kegiatan itu bagi mendapatkan bekalan tenaga percuma walaupun berdepan risiko terkena renjatan elektrik kerana membuat penyambungan tidak mematuhi piawaian SESB.

"Kami tidak dapat mengatasi masalah ini tanpa kerjasama PBT. Jika setinggan dihapuskan, kami yakin tiada lagi kegiatan penyambungan elektrik secara haram.

"Bagaimanapun, SESB tidak akan berputus asa, malah kami akan meningkatkan operasi pemotongan di semua kawasan setinggan yang dikenal pasti di seluruh negeri," katanya kepada media, di sini semalam.

SESB melaksanakan operasi berkenaan di sekitar bandar raya ini sejak Isnin lalu.

Katanya, SESB mendapati kegiatan penyambungan elektrik secara haram berjaya diatasi di beberapa kawasan setinggan yang sudah dirobohkan PBT seperti di Likas, dekat sini.

"Jika SESB dibenarkan membekalkan elektrik kepada penduduk setinggan, kegiatan penyambungan haram tidak berlaku tetapi kami tidak dapat berbuat demikian kerana undang-undang PBT.

"PBT perlu melaksanakan tanggungjawab menghapuskan kawasan setinggan supaya kegiatan penyambungan elektrik secara haram dapat diatasi," katanya.

0 comments: