Followers

Friday, July 17, 2009

H1N1: 6,000 rakyat Australia berdepan maut


SEORANG budak lelaki menunjukkan isyarat di samping anggota keluarganya yang memakai penutup mulut dan hidung di Bogota kelmarin, selepas pihak berkuasa Colombia mengumumkan 10 kes baru selesema babi, menjadikannya 185 setakat ini.

Negara paling teruk dilanda selesema babi di Asia-Pasifik

SYDNEY: Pihak berkuasa kesihatan menganggarkan sehingga 6,000 rakyat Australia boleh mati sekiranya selesema babi mencapai tahap 'paling teruk' dalam musim sejuk di Hemisfera Selatan, kata menteri kesihatannya, Nicola Roxon semalam.

Serentak dengan itu, Hong Kong melaporkan kematian pertama dan New Zealand kematian ke-10 semalam.

Menurut Roxon, angka kematian berkenaan boleh meningkat tinggi jika tiada tindakan diambil bagi membendung penularan virus itu, seperti menggunakan antiviral dan vaksin, yang diharap dapat digunakan menjelang Oktober.

Secara purata terdapat kira-kira 2,000 hingga 3,000 kematian di Australia yang berpunca daripada beberapa jenis selesema pada setiap musim penyakit itu, kata jabatan kesihatan.

Australia adalah negara paling teruk dilanda selesema babi di Asia-Pasifik, dengan 24 kes kematian berkaitan selesema babi dan 11,194 kes virus berkenaan yang disahkan.

Hong Kong melaporkan kematian pertama yang disyaki selesema babi semalam di samping 85 jangkitan tambahan.

Mangsa yang meninggal dunia itu adalah seorang anak kapal keturunan Filipina dan berusia 42 tahun yang diuji positif virus H1N1 selepas kematiannya.

New Zealand mengesahkan kematian ke-10 daripada 2,107 kes.

Sementara itu, di Geneva, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata selesema babi yang dihadapi lebih 140 negara dijangka menjadi wabak pandemik terbesar dalam sejarah, kata Ketua Pengarahnya Margaret Chan semalam.

"Dari segi bilangan negara yang mencatat jangkitan dan bilangan orang yang dijangkiti, virus ini adalah yang paling besar," kata Chan dalam wawancara dengan akhbar The Guardian.

Ditanya sama ada kesan H1N1 lebih buruk daripada pandemik 1918, beliau berkata: "Jika anda membincangkan soal kematian kerananya, saya tidak mahu membuat ramalan. - AP/Agensi

0 comments: