Followers

Friday, July 17, 2009

H1N1: WHO akui penularan pandemik terlalu pantas

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengakui penularan selesema babi H1N1 terlalu pantas berbanding pandemik lain dan terlalu sukar untuk mengira setiap kes.

Badan dunia itu yang mengisytiharkan Influenza A H1N1 sebagai pandemik pada 11 Jun lalu, semalam mengkaji semula garis panduan bagi membolehkan pengiraan atau laporan dilakukan hanya terhadap kes kematian atau kes klinikal yang berlainan.

"Pandemik H1N1 ini sudah merebak ke peringkat antarabangsa dengan kepantasan yang tidak dijangka.

"Berbanding pandemik selesema sebelum ini, ia mengambil masa enam bulan untuk menular tetapi H1N1 merebak kurang daripada enam minggu," kata WHO dalam satu kenyataan.

Ketika ini agak mustahil kepada pihak berkuasa kesihatan untuk mengira dan menguji kaji setiap kes baru dijangkiti apabila ia meningkat ketara dan pantas.

Pakar selesema memberitahu, sekurang-kurangnya sejuta penduduk di Amerika Syarikat dijangkiti selesema babi dan WHO menjangkakan pandemik itu sukar dihentikan.

"Ia agak dipersetujui pada awalnya untuk mendaftar dan merekod setiap kes dijangkiti tetapi dalam keadaan sumber yang serba kekurangan dengan tahap penularannya semakin pantas," kata jurucakap WHO, Gregory Hartl.

Di Britain, 29 maut setakat ini selepas dijangkiti virus selesema babi.

Menteri Kesihatan, Andy Burnham berkata kerajaan menganggarkan lebih 100,000 kes baru dijangkiti setiap hari menjelang penghujung Ogos ini.

WHO tidak lagi mengeluarkan graf jumlah kes dijangkiti di seluruh dunia yang kini mencecah 94,512 kes dengan 429 kematian sejak 6 Julai lalu. - Reuters

0 comments: