Followers

Friday, July 10, 2009

Sabah&Sarawak: Lapangan Terbang Sandakan bakal dinaik taraf

SANDAKAN: Selepas beroperasi sejak lebih dua dekad lalu, Lapangan Terbang Sandakan bakal dinaik taraf dan akan mempunyai penerbangan terus dari Kalimantan, China serta Filipina.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol, berkata langkah itu adalah antara alternatif menarik orang ramai terutama pelancong asing berkunjung ke daerah berkenaan.

Katanya, penurunan kedatangan penumpang kira-kira tiga peratus tahun lalu yang tiba melalui lapangan terbang itu membuktikan sudah tiba masanya ia dinaik taraf.

"Kegawatan ekonomi global semasa memberi impak kepada industri pelancongan, oleh itu kita mesti mencari jalan proaktif untuk memperbaiki keadaan," katanya ketika merasmikan sambutan di lapangan terbang sempena sambutan Festival Sandakan 2009.

Hadir sama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, James Wong, dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Sandakan, Awang Mali Awang Anak.

Juslie berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu gigih mempromosi budaya menerusi projek inap desa kerana banyak kawasan didapati belum dimajukan.

"PBT perlu menyelaraskan semula kampung terbabit untuk dijadikan inap desa supaya industri pelancongan dapat menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

0 comments: