Followers

Friday, July 10, 2009

Mansuh PPSMI bukan keputusan terburu-buru: Muhyiddin

KAMPAR: Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 bukan satu pelaksanaan yang terburu-buru dan gopoh, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan pemansuhan PPSMI pada 2012 itu dibuat setelah menimbang faktor yang penting untuk meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris di mana segala persiapan yang sempurna dapat disediakan dalam tempoh dua setengah tahun.

Ini, katanya termasuk kelengkapan yang cukup, bahan yang digunakan, makmal bahasa yang baik serta guru-guru yang mahir.

"Kita telah mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna.

"Tidak boleh tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini. Saya faham pejuang-pejuang bahasa ini kalau boleh esok mahu mulakan. Tetapi kita perlu realistik dan sebab itu kita menganjurkan tempoh itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Festival Minda Malaysia kelima anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia Mental Literacy Movement dan Kolej TAR di sini hari ini.

Muhyiddin berkata dua setengah tahun sebelum PPSMI dimansuhkan adalah jangka masa yang mencukupi untuk melaksanakan segala persiapan dengan sempurna, sambil menambah kerajaan tidak mahu mengulangi masalah yang sama ketika melaksanakan PPSMI sebelum ini. - Bernama

0 comments: