Followers

Friday, July 10, 2009

495 pesakit H1N1 dibenar pulang

KUALA LUMPUR: Seramai 495 daripada 627 orang yang disahkan dijangkiti virus Influenza A(H1N1) telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital manakala baki 132 orang pesakit lagi masih menerima rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ini termasuk pertambahan 53 kes baru yang dilaporkan yang membabitkan 41 kes import dan 12 kes jangkitan tempatan.

"Sebanyak 53 kes baru yang dilaporkan adalah melibatkan warganegara Malaysia dan tujuh warga asing iaitu warga Indonesia (lima kes), China dan India masing-masing satu kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, terdapat dua kes import Influenza A(H1N1) telah dilaporkan yang membabitkan pelajar Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Seri Kembangan yang baru pulang daripada menyertai rombongan ke New York pada Rabu lalu.

Katanya, pihak pentadbiran sekolah berkenaan kemudiannya mengambil tindakan secara sukarela menutup sekolah bermula hari ini sehingga tarikh yang ditetapkan.

"Tindakan sama turut dilakukan oleh pentadbiran Tadika Gospel Chapel Keroskop, Miri Sarawak apabila satu kes tempatan membabitkan pelajar tadika berkenaan yang dilaporkan turut dijangkiti virus itu," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, pertambahan dua kes di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya yang kini menjadikan 14 kes dilaporkan di syarikat terbabit menunjukkan tanda-tanda awal terdapat penularan virus Influenza A(H1N1) dalam komuniti.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah pencegahan dan mitigasi bagi membendung wabak in daripada terus merebak.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya satu meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan.

"Pengudaraan yang baik dalam rumah, etika batuk yang baik dan kebersihan tangan perlu dititikberatkan serta melaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat jika terdapat kes individu yang mempunyai simptom virus H1N1 ini," katanya.

Mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan situasi semasa wabak ini dan mendapatkan maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan melalui laman web www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my serta hubungi talian Hotline Influenza A(H1N1) di 03-8810200, 03-88810300, 03-88834414 dan 03-88834415. - Bernama

0 comments: