Followers

Tuesday, July 14, 2009

Sabah&Sarawak: Majlis makan malam Persatuan Thalasemia Sabah kumpul RM10,000

KOTA KINABALU: Sebanyak RM10,000 disumbangkan kepada Persatuan Thalasemia Sabah (PTS) pada majlis makan malam bagi membantu pesakit berkenaan, di sini malam kelmarin.

Majlis anjuran Kelab Keluarga Infra (KKI), Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri itu bertujuan membolehkan PTS melipatgandakan usaha menarik pembabitan lebih ramai anggota masyarakat bagi membantu pesakit thalasemia.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Japlin Akim, berkata majlis berkenaan penting bagi meningkatkan kefahaman anggota masyarakat mengenai penyakit itu.

"Majlis makan malam amal ini mampu meningkatkan kesedaran ahli KKI mengenai penyakit thalasemia dan ia harus dikongsi dengan anggota keluarga dan rakan," katanya.

"Saya terharu atas usaha gigih jawatankuasa penganjur yang diterajui oleh Presidennya yang juga Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Pangeran Hassanel Pangeran Mohd Tahir dalam membantu pesakit thalasemia," katanya ketika merasmikan majlis itu di Sutera Harbour, di sini.

Turut hadir, Pangeran Hassanel; Yang Dipertua PTS, Abdul Rahim Kahar dan Pengarah Jabatan Pediatrik Hospital Queen Elizabeth (QEH), Dr Soo Thian Lian.

Seramai 30 kanak-kanak yang menghidap thalasemia terhibur dengan pelbagai persembahan nyanyian artis terkenal dan pertunjukan silap mata.

Japlin berkata, kegiatan berkenaan wajar dipupuk menjadi budaya anggota masyarakat kerana ia membantu meringankan beban kerajaan untuk membantu pesakit terbabit.

Beliau turut memuji usaha ahli KKI mengunjungi pesakit thalasemia di QEH dan Hospital Likas baru-baru ini kerana ia amat bermakna untuk pesakit terbabit

Japlin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan derma kepada persatuan berkenaan dan berharap lebih banyak syarikat swasta menghulurkan bantuan.

0 comments: