Followers

Thursday, May 14, 2009

Sidique Ali meninggal


Sidique Ali Merican

BEKAS pelari pecut terbilang dan pentadbir sukan negara berwibawa, Sidique Ali Merican meninggal dunia akibat serangan angin ahmar di kediamannya di Petaling Jaya, awal pagi semalam.

Allahyarham, 79, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan meninggalkan seorang balu, Fatimah Shariff dan dua anak lelaki, Dr Ezlan dan Shazman.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku, di Petaling Jaya, selepas solat Zuhur.

Allahyarham terkenal sebagai seorang pelari pecut berkaliber dan masih lagi kekal sebagai pelari tunggal dan pecut pertama Malaysia mencatat kepantasan bawah 10 saat, apabila melakarkan 9.8s pada jarak 100 ela di kejohanan Olahraga Antara Universiti di England pada 1952.

Mula mencipta nama dalam olahraga apabila mencatat 10.3s berlari dengan berkaki ayam di Kota Bharu pada 1949, sebelum mencatat 10s dalam satu kejohanan, kali ini dengan memakai kasut ‘spike’ yang dibeli di Singapura.

Catatan 10s itu adalah satu rekod Malaya ketika itu dan bertahan sehingga 1958.

Berdasarkan pembabitan aktif dalam sukan, allahyarham dilantik Penolong Pengarah Sukan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada 1972 sebelum dinaikkan pangkat kepada Ketua Pengarah pada 1981. Allahyarham bersara daripada perkhidmatan awam pada 1985.

Selain itu, Allahyarham turut memegang jawatan Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dari 1974 sehingga 1986 dan juga dilantik sebagai Timbalan chef de mission Sukan Komanwel 1978, Sukan Asia 1982 dan Sukan Olimpik 1964.

0 comments: