Followers

Thursday, May 14, 2009

Sabah & Sarawak: Biasiswa RM28 juta untuk pelajar cemerlang Sabah

Kerajaan komited perkasa akademik, bangunkan modal insan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM28 juta untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar menerusi pembiayaan biasiswa kepada pelajar cemerlang dari Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata jumlah itu meningkat RM3 juta berbanding RM25 juta yang diperuntukkan tahun lalu, selaras iltizam kerajaan membangunkan modal insan untuk memenuhi keperluan di negeri itu.

Katanya, walaupun berlaku kelembapan ekonomi berikutan krisis ekonomi global, kerajaan negeri tetap komited meneruskan agenda pembangunan, khususnya dalam memperkasa bidang pendidikan.

"Dalam pembangunan modal insan, kerajaan negeri memperuntukkan RM188.14 juta dalam bajet negeri tahun ini yang antara lain bertujuan memudahkan kemasukan ke institusi pengajian tinggi menerusi bantuan biasiswa.

"Kerajaan turut memberi keutamaan kepada projek penyediaan prasarana fizikal seperti bangunan dan kelengkapan sekolah, tenaga pendidik yang berwibawa dan kemudahan pinjaman.

"Ini kerana kerajaan percaya dan menyedari dengan ilmu pengetahuan, kita dapat membangun dan meningkatkan martabat bangsa serta negara," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri anjuran Yayasan Sabah di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Exco Pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun; Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul dan Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Dr Johan Ariffin Abdul Samad.

Musa berkata, pelajar di Sabah wajar memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan kerajaan menerusi pemberian biasiswa atau bantuan kewangan yang lain dengan berusaha mendapatkan pencapaian yang cemerlang dalam akademik.

"Kepada mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, saya harap anda memanfaatkan dan meneroka disiplin ilmu yang mencabar, kreativiti dan inovatif.

"Ini penting bagi memenuhi keperluan guna tenaga negara, khususnya bagi memacu kemajuan negeri dalam menjayakan matlamat hala tuju pembangunan dan pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC)," katanya.

Terdahulu, Khalil berkata, sejak Anugerah Biasiswa Cemerlang Sabah diperkenalkan 20 tahun lalu, seramai 359 individu menikmati kemudahan itu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti membabitkan perbelanjaan RM31.4 juta.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 234 pelajar sudah menamatkan pengajian dengan 16 memperolehi kepujian kelas pertama dan 27 memperoleh kelas dua tinggi.

"Tahun ini, seramai 25 pelajar terpilih menerima anugerah ini. Mereka dipilih berdasarkan pencapaian sekurang-kurangnya 8A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aktif dalam kokurikulum dan memiliki ciri-ciri kepemimpinan.

"Daripada jumlah itu, 52 peratus mempunyai kecenderungan menjadi pakar perubatan. Ini menggambarkan perkembangan positif dalam pembangunan modal insan yang berasaskan sains dan teknologi," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu turut mendorong Kumpulan Yayasan Sabah memperluaskan peluang tajaan biasiswa dalam bidang kritikal seperti kejuruteraan kapal terbang, perkapalan, nano teknologi, animasi dan bio teknologi.

0 comments: