Followers

Thursday, May 14, 2009

Petrol RON95 untungkan pengguna, kerajaan

PENGENALAN petrol baru, RON95 yang dijual pada harga RM1.75 seliter adalah penyelesaian ‘menang-menang’ antara pengguna dan kerajaan kerana langkah itu akan memanfaatkan pengguna dari segi harga lebih rendah, sementara kerajaan pula dapat mengurangkan perbelanjaan subsidinya.

Ketua Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Chris Eng, berkata pengguna akan menjimatkan 5 sen seliter dengan beralih daripada penggunaan RON97 yang kini pada harga RM1.80 seliter kepada RON95 apabila petrol baru itu mula dijual di seluruh negara pada 1 September depan.

“Umumnya, langkah itu adalah berita baik kerana 95 peratus pemandu di negara ini menggunakan RON97 dan hanya lima peratus menggunakan RON92 yang akan ditamatkan jualannya.

“Justeru, ia akan memberi manfaat kepada sebahagian besar pengguna walaupun lima peratus lagi terpaksa meningkatkan perbelanjaan sebanyak 5 sen seliter untuk bertukar daripada RON92 yang berharga RM1.70 seliter kepada RON95,” katanya dalam satu laporan penyelidikan, semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin mengumumkan rombakan jenis petrol bagi jualan runcit yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 September ini.

Dalam rombakan itu, kerajaan memansuhkan penjualan petrol RON92 berkuat kuasa 1 September dan memperkenalkan RON95.

Petrol RON97 pula akan dijadikan produk premium dengan harganya dinaikkan kepada RM2 seliter.

Petrol RON95 mula dijual di dua stesen minyak Petronas di Putrajaya dengan jenama Primax 95 kelmarin sebelum diikuti syarikat lain secara berperingkat.

Eng berkata, peralihan kepada penggunaan RON95 tidak menjejaskan kenderaan kerana ia menepati spesifikasi minimum bagi enjin kenderaan yang digunakan di negara ini.

Beliau menjelaskan, RON atau Nombor Penyelidikan Octane adalah pengukur keupayaan petrol menentang pembakaran tidak matang ketika pemampatan, justeru, ia menimbulkan persepsi bahawa penggunaan petrol dengan RON lebih tinggi akan meningkatkan kuasa.

“Namun, ia sebenarnya hanya persepsi kerana sebahagian besar enjin kenderaan direka dengan spesifikasi minimum masing-masing dan penggunaan petrol yang lebih tinggi daripada RON yang ditetapkan sebenarnya tidak menambah prestasi enjin.

“Jika spesifikasi minimum kenderaan adalah RON95, maka penggunaan RON97 tidak meningkatkan prestasi enjinnya,” katanya.

Eng menjangka kenaikan harga petrol RON97 hanya memberikan kesan kepada pemilik kereta mewah yang berkapasiti 2000cc dan yang mewakili kurang daripada lima peratus daripada jumlah kenderaan di negara ini.

Katanya, golongan berkenaan dijangka terus menggunakan petrol jenis itu kerana masalah dari segi persepsi prestasi itu.

“Kami menjangka pemilik kereta sedan dengan kapasiti enjin kurang 2000cc yang kini mencecah lebih 95 peratus, akan beralih menggunakan RON95, sementara pemilik kenderaan mewah dengan kapasiti enjin lebih 2000cc mungkin kekal menggunakan RON97 kerana persepsi kemewahan,” katanya.

0 comments: