Followers

Sunday, December 5, 2010

BN tidak boleh ditiru anasir luar: Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak boleh ditiru dan diporak perandakan anasir luar kerana ikatan atas keikhlasan dan kesungguhan parti itu melambangkan keakrabannya terhadap rakyat, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya, BN bukan sebarang parti, malah tidak mudah untuk dibuat galang ganti seperti yang diaplikasikan oleh parti pembangkang kerana parti tersebut juga melambangkan definisi rakyat Malaysia.
"Usia BN juga bukan setahun dua tetapi BN telah matang dengan melalui sebarang ranjau, krisis dan permasalahan dalam negara. Tidak pernah menyerah kalah apatah lagi untuk bersikap pasrah atas cabaran yang datang," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan Konvensyen Barisan Nasional kali ketiga di Wisma MCA hari ini.
Kira-kira 2,340 perwakilan daripada parti komponen BN, rakan-rakan BN dan badan bukan kerajaan (NGO) menghadiri konvensyen yang bertemakan "1Rakyat, 1Negara, 1Wawasan" itu dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri.

Katanya, BN terbukti dengan "kata dikota, janji dilaksana" berikutan usaha parti itu yang sentiasa berusaha menyaring kekotoran, membuang yang negatif dan mempertingkatkan kejituan demi masa depan.

"Banyak yang telah BN lalui, bukan hanya terguris luka atau sekadar tertusuk selumbar tapi BN juga berdepan dengan kecaman pergolakan oleh segelintir anggota sendiri... mengalah bukan sekali, BN bangkit memulih semangat untuk membina kekuatan," katanya.

Katanya, konvensyen ini merupakan satu usaha untuk terus menjuarai rakyat dengan jiwa dan semangat kental, menyelami permasalahan dan melakukan perubahan berdasarkan landskap gelombang yang dimahukan oleh rakyat.
"BN bukan hanya sebuah kerajaan yang dihasilkan oleh aspirasi rakyat tetapi tempat bagi rakyat yang berjiwa besar yang menjadi lambang sebuah negara berdaulat," katanya.

Beliau juga mengingatkan kesemua perwakilan supaya tidak sesekali terpedaya dengan dakyah pembangkang sebaliknya ampuh menyemai tekad dengan mengatur langkah bersama berpadu "ke gunung sama didaki ke lurah sama dituruni".

Mereka juga bertafakur selama seminit sebagai tanda hormat terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang meninggal dunia pada 24 November lalu akibat serangan angin ahmar. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget